Lelaki Tempatan Ditahan Miliki Syabu Di Tawau

Polis daerah Tawau merampas 5.2 gram dadah jenis syabu dengan anggaran nilai RM500 yang ditemui dalam salah sebuah bilik ketika serbuan di kediaman tidak bernombor di Kampung Batu Dua Jalan Apas Tawau. Gambar Facebook Polis Daerah Tawau

TAWAU, 5 Febuari 2019 – Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Tawau menahan seorang lelaki tempatan penganggur bersama dadah jenis syabu di kawasan rumah tidak bernombor di perkampungan Batu 2, Jalan Apas Tawau petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Bin Hj. Marsus berkata, operasi yang dijalankan pada jam 2.00 petang itu dianggotai pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau telah membuat serbuan di kawasan perkampungan tersebut dan menahan seorang lelaki tempatan lingkungan 41 tahun hasil maklumat dari orang awam.

Polis kemudianya menyerbu rumah tidak bernombor tersebut dan mendapati seorang lelaki warga tempatan berada di dalam rumah berkenaan yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan tubuh badan suspek berkenaan, polis tidak menjumpai sebarang benda yang salah kemudian pemeriksaan lanjut di dalam bilik rumah berkenaan , polis menjumpai sebuah bekas menyimpan kaca mata berwarna putih yang diletakkan di atas lantai didalam bilik tersebut dan apabila dibuka terdapat 6 peket plastik lutsinar berlainan saiz mengandungi hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 5.2 gram,” katanya.

Suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methapithamine. Kes disiasat dibawah seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai 3 rekod lampau disiasat dibawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang berlaku di daerah Sandakan, Penampang dan Tawau.

Katanya, Polis amat mengalu-alukan maklumat daripada orang awam bagi memastikan pengedar serta sarang penagih dadah dapat dibanteras sepenuhnya secara agresif bagi mengekalkan ke Arah Tawau Sejahtera.

Sumber : Facebook Polis Daerah Tawau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *