Titik paling timur Malaysia dibangun

Batu tanda menunjukkan titik paling timur di Malaysia terletak di Tanjung Atiam, Tambisan. (Gambar kanan) Pemandangan menarik pantai di sekitar Tambisan hingga ke Tungku, Lahad Datu. Foto Ihsan Pembaca

TITIK paling timur di Malaysia yang terletak di Tanjung Atiam, Tambisan, dekat Tunku di Lahad Datu, Sabah bakal dibangunkan sebagai destinasi tarikan pelancongan baharu di kawasan pantai timur Sabah.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assafal Alian berkata, kedudukannya sebagai lokasi paling awal menerima cahaya matahari di negara ini sangat berpotensi untuk menarik pelancong.

Katanya, Tanjung Atiam yang terletak kira-kira 150 kilometer dari bandar Lahad Datu masih kurang dikenali kerana belum dibangunkan berbanding titik paling hujung pulau Borneo di Tanjung Simpang Mengayau, Kudat.

“Ketika ini belum ada prasarana untuk kemudahan pelancongan dibina di Tanjung Atiam dan mungkin atas sebab itu, ia tidak dikenali, walaupun lokasinya sebagai titik daratan paling timur Malaysia sangat strategik untuk tujuan pelancongan.

“Sehubungan itu, kita merancang untuk membangunkan kawasan berkenaan dengan menyediakan tempat untuk rekreasi dan penginapan serta mempromosikannya sebagai lokasi menarik untuk melihat cahaya matahari terbit.

“Selain itu, ada juga cadangan membina balai cerap di kawasan itu sebagai lokasi melihat anak bulan dan menggalakkan peminat aktiviti memerhati bintang datang ke sana kerana lokasinya sangat sesuai untuk mencerap bintang pada waktu malam,” katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu, hari ini.

Assafal berkata, usaha membangunkan Tanjung Atiam turut disenaraikan dalam agenda pembangunan di kawasan Tunku, sejajar usaha mengembangkan aktiviti pelancongan kawasan itu.

Menurutnya, kawasan Tunku mempunyai banyak potensi untuk dibangunkan sebagai lokasi pelancongan, namun kekurangan prasarana dan ketiadaan syarikat pelancongan membawa pelancong ke kawasan itu melambatkan pembangunan sektor berkenaan.

“Kita sebenarnya ketiadaan syarikat tempatan yang berpusat di Lahad Datu mengendalikan aktiviti pelancongan seperti membawa pelancong melawat ke tempat menarik yang ada di sini.

“Jadi, usaha kita sekarang ialah mahu menggalakkan anak tempatan di Lahad Datu menceburi bidang pelancongan dan saya yakin ia boleh membawa pulangan baik bukan saja kepada pengusahanya, malah rakyat di kawasan Tunku dan Lahad Datu,” katanya.

Selain Tanjung Atiam, Lahad Datu turut memiliki beberapa lokasi menarik untuk dikunjungi pelancong seperti Menara Kayangan di Gunung Silam, Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin dan Lembah Danum.

Batu tanda menunjukkan titik paling timur di Malaysia terletak di Tanjung Atiam, Tambisan. . Foto Ihsan Pembaca
Batu tanda menunjukkan titik paling timur di Malaysia terletak di Tanjung Atiam, Tambisan. . Foto Ihsan Pembaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *