Job kurang, Jimmy Palikat jadi kontraktor

Beralih arah, Jimmy yang popular dengan lagu Anak Kampung, bekerja sebagai kontraktor binaan bagi menampung keluarga. Foto IG Jimmy Palikat

KUALA LUMPUR: Cukup popular dengan lagu Anak Kampung kira-kira tujuh tahun lalu, entah di mana silapnya, nama penyanyi dan komposer kelahiran Sabah, Jimmy Palikat tidak lagi kedengaran.

Akui anak jati Tambunan ini, dia sukar bertahan sebagai penyanyi berikutan undangan membuat persembahan tidak ‘selebat’ dulu.

Beralih arah, Jimmy bekerja dalam sektor pembinaan bagi menampung perbelanjaan keluarga.

“Saya jadi kontraktor untuk menampung kehidupan. Namun, tidaklah bermakna saya sudah tidak lagi menyanyi, cuma bidang seni bukan lagi keutamaan saya.

“Jika ada undangan untuk menyanyi, saya akan penuhi. Sekiranya tidak ada, saya akan fokus kepada bidang pembinaan.

“Saya juga masih menerima undangan nyanyian di Kuala Lumpur, namun tidaklah sebanyak dulu,” katanya kepada BH Online.

Pada 2011, lagu Anak Kampung gandingan Jimmy dan One Nation Emcees menjadi siulan ramai. Lagu itu mencetus fenomena apabila berjaya mengangkat elemen warisan dan jati diri sebagai anak desa.

Selain Anak Kampung, Jimmy juga muncul dengan single Aku Datang KL sebagai pencetus kerjaya nyanyiannya di Semenanjung Malaysia.

Bertanya mengenai kepayahan bertahan sebagai penyanyi lagu popular, Jimmy mengaku sukar mengulangi magis Anak Kampung.

“Saya tak mahu dikenali sebagai penyanyi satu lagu popular atau ‘one hit wonder’ sahaja. Sehingga hari ini saya masih mencari lagu sesuai.

“Usaha ini bukan mudah… Sebab lagu yang kita suka, kadang-kadang tidak digemari pendengar.

“Apa yang pasti, saya tidak akan berhenti mencari material baharu, tidak berhenti berkarya atau menyanyi… Ini adalah minat saya,” katanya.

Terbaru, Jimmy yang bernaung di bawah syarikat rakaman Nova Music bakal tampil dengan single berjudul Ausss, ciptaannya sendiri.

“Lagu ini sudah dimainkan di radio di Sabah berikutan liriknya ditulis di dalam loghat Sabah.

“Nova Music meminta saya mengubah lirik lagu ini mengikut kesesuaian pendengar di Semenanjung Malaysia. Perkara ini masih diusahakan kerana saya tidak mahu hilang keaslian lagu itu,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *