JDT II bangkit atasi Sabah

FOTO JOHOR Southern Tigers

KOTA KINABALU: Rozaimi Abd Rahman muncul wira Johor Darul Ta’zim II (JDTII) apabila menjaringkan gol kemenangan buat pasukannya ketika menewaskan Sabah 2-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas sebentar tadi.

Bekas penyerang Sabah itu meledak gol menerusi sepakan percuma pada minit ke-83, sekali gus menggagalkan hasrat skuad Tambadau untuk mencatat kemenangan pertama mereka di gelanggang sendiri musim ini.

Sebelum itu pemain import baharu Sabah, Luka Milunovic menceriakan penyokong tuan rumah apabila membuka jaringan pada minit ke-13.

Gol berkenaan berpunca daripada kesilapan penjaga gol JDT II, Muhammad Haziq Nadzli yang terlepas bola sebelum diasak oleh Rodoljub Paunovic, dan bola sampai ke kaki Milunovic yang dengan mudah membuat jaringan.

Pada minit ke-20, pemain tengah dari Serbia itu memiliki peluang untuk menambah jaringan namun tandukannya sedikit tersasar walaupun penjaga gol sudah tertewas.

Pasukan pelawat kemudian memiliki peluang terbaik pada minit ke-28, namun sepakan percuma pemain import mereka, Lucas Elias On Tiverton tersasar dan kedudukan 1-0  kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, JDT II hampir menyamakan kedudukan menerusi gerakan menarik Lucas yang berjaya menggelecek penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim, namun berjaya dikeluarkan Dendy Lowa.

Pada minit ke-58, Sabah pula hampir menambah jaringan menerusi sepakan percuma Sabri Sahar, namun percubaan dari jarak 25 meter itu sekadar menggegar tiang dan cubaan susulan Paunovic berjaya dihalang pertahanan lawan.

Penyerang import JDT II, Mohammed Ghaddar akhirnya berjaya menyamakan pada minit ke-62 apabila menanduk masuk sepakan percuma S Kumaahran disusuli gol kemenangan Rozaimi. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *