Ambil balik cucu

Kanak-kanak lelaki yang dijual oleh ibu bapanya kembali ke pangkuang keluarga. FOTO Guancha.cn

Beijing: Rindu seorang kanak-kanak terhadap datuknya akhirnya terubat selepas setahun terpisah gara-gara dijual oleh ibu bapanya sendiri dengan harga 120,000 yuan (RM72,887) dalam kejadian di Jinjiang, China.

Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu kembali ke pangkuan keluarganya selepas pihak berkuasa berjaya mengesan satu pasangan yang membelinya bulan lalu, lapor Beijing Youth Daily.

South China Morning Post melaporkan, dia dibesarkan oleh datuk dan neneknya sejak berusia lapan bulan dan kadangkala tinggal bersama ibu bapanya.

Bagaimanapun, datuknya terkejut mendapat tahu cucunya sudah dijual ketika melawat anak lelaki di penjara Disember lalu atas kesalahan membabitkan dadah.

Polis yang menyiasat kes itu mendapat tahu pasangan terbabit menjual anak mereka kepada pasangan lain selepas bertemu di taman pada 17 Januari.

Kanak-kanak malang itu kemudian dijual pada harga 120,000 yuan dan pasangan terbabit membahagikan keuntungan itu sama rata.

Polis berjaya mengesan keluarga angkat kanak-kanak itu dan hasil ujian DNA mengesahkan hubungan datuk dan cucu terbabit.

Pasangan itu berdepan dengan tindakan jenayah manakala pembeli anak mereka ditahan polis.

Datuk kanak-kanak terbabit menyifatkan anaknya sangat kejam apabila sanggup menjual anak sendiri.

“Bagaimana mereka boleh menjadi kejam. Saya dan isteri boleh menyara anak mereka jika tidak mampu. Tergamak mereka menjualnya.

“Ketika kali terakhir bertemu, mereka mengatakan berhak membuat keputusan ke atas anak mereka. Sebelum itu, mereka membawanya keluar, namun sebaik malam dia dipulangkan kepada kami,” katanya.

Ia bukan kes pertama seumpamanya. Pada Ogos lalu seorang ibu menjual bayinya yang berusia tujuh bulan dan anak kedua pada harga 50,000 yuan (RM30,369) kerana penat menjaga dua anak, lapor Sanqin Daily. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *