Taraf anak negeri hanya untuk orang asal Sabah

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor.

KOTA KINABALU: Pemimpin pembangkang di Sabah mengingatkan kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) supaya tidak sesuka hati memberi taraf anak negeri kepada kaum lain yang bukan berasal dari negeri ini.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata ini kerana status anak negeri adalah sangat istimewa iaitu hanya untuk Bumiputera orang asal Sabah dan ia mesti dipelihara.

“Memberi pengiktirafan kepada bangsa lain sebagai anak negeri adalah perkara yang serius dan sensitif.

“Jika ini dilaksanakan, sudah pasti ia menghakis hak-hak anak negeri Sabah. Kita mengingatkan kerajaan WARISAN supaya tidak terburu-buru berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hajiji mengulas kenyataan Menteri Undang-Undang dan Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Mokhtar, mengenai cadangan menyemak sama ada masyarakat Bugis dan Jawa di Sabah yang berasal dari Jawa dan Sulawesi, Indonesia harus dianggap sebagai anak negeri Sabah.

Aidi dilaporkan berkata, Ordinan Interpretasi (Definasi Anak Negeri) di Sabah ketika ini tidak mengklasifikasikan kedua-dua kaum itu sebagai anak negeri dan ia adalah tidak adil kepada masyarakat berkenaan.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, berkata semua anak negeri adalah Bumiputera tetapi tidak semua Bumiputera adalah anak negeri.

“Anak Negeri atau native (pribumi) adalah mereka yang berasal dari Borneo Utara. Dalam konteks nasional mereka juga Bumiputera di bawah Perlembagaan kita.

“Namun, Bumiputera Malaysia tidak semestinya layak sebagai penduduk asal pribumi Sabah. Orang Melayu dari Semenanjung dan Sarawak juga tidak diiktiraf sebagai orang asli Sabah kecuali seorang daripada ibu bapa mereka berasal dari Sabah.

“Bugis adalah orang asli Sulawesi manakala Jawa adalah orang asli Jawa. Mereka bukan orang asli Sabah atau Borneo Utara, mereka tidak layak menjadi orang asli dalam definisi Ordinan Anak Negeri,” katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, mengingatkan WARISAN supaya tidak ‘bermain’ dengan Ordinan negeri untuk kepentingan politik terutama yang berkaitan dengan status anak negeri.

Beliau berkata, pindaan terhadap peruntukan ordinan sedia ada tidak boleh dibuat sesuka hati semata-mata untuk memasukkan kaum atau bangsa lain dalam kategori anak negeri.

“Kita minta WARISAN buat pungutan suara atau referendum bagi mendapatkan pandangan semua orang Sabah. Kerajaan negeri pimpinan WARISAN tidak boleh sesuka hati melanggar hak dan undang-undang yang dikhususkan untuk anak negeri dan Sabah keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan kaum atau bangsa terbabit yang sudah lama tinggal di negeri ini iaitu sejak sebelum pembentukan Malaysia tidak melayakkan mereka mendapat status anak negeri walaupun bertaraf warga negara, seperti masyarakat British, India dan Cina.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *