Sabah teliti semula ordinan iktiraf Bugis, Jawa Anak Negeri

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Moktar berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan surat lantikan kepada ketua adat bagi tahun 2019 di sini, hari ini.

TAWAU, 1 Feb – Kerajaan Sabah akan meneliti semula tafsiran dalam Ordinan Interpretasi Anak Negeri berhubung suku kaum Bugis serta Jawa yang tidak termasuk sebagai Anak Negeri, kata Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Moktar.

Beliau berkata tiba masanya di bawah era kerajaan baharu, perkara itu diambil perhatian serta melihat semula tafsiran dalam ordinan agar suku Bugis dan Jawa yang sekian lama menetap di Sabah juga diiktiraf sebagai Anak Negeri.

“Kerajaan negeri diketuai Parti Warisan Sabah akan ambil berat dan perhatian perkara ini kerana kami tahu adalah tidak adil bagi mereka (Bugis dan Jawa) ini yang sudah hidup lama dan datang ke sini sebelum merdeka (tetapi tidak diiktiraf sebagai anak negeri),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan surat lantikan kepada ketua adat bagi tahun 2019 di sini, hari ini.

Majlis hari ini, melihat penyerahan surat pelantikan kepada seorang Ketua Daerah, lima ketua anak negeri, 15 wakil ketua anak negeri, 40 ketua kampung serta 20 ketua masyarakat cina di Tawau.

Sementara itu, Aidi berkata sekiranya terdapat cadangan lantikan ketua adat dari suku kaum Bugis dan Jawa perkara itu boleh diselesaikan dengan memohon untuk menjadi sebahagian daripada Anak Negeri.

“Kita selesaikan (permohonan) dulu di peringkat Mahkamah Anak Negeri (MAN).

“Apabila mereka ini diberikan taraf Anak Negeri MAN sudah tidak ada halangan bagi pelantikan mereka yang ketika ini terpaksa ditangguhkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Alijus Sipil mahu ketua adat yang dilantik berdedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Peranan ketua adat mampu menjadi mata dan telinga pihak kerajaan dalam menangani setiap permasalahan dihadapi di kawasan masing-masing termasuk tanggungjawab memantau permasalahan daif, serta pembangunan kampung perlu ditekankan agar tidak ada yang terpinggir,” katanya.

Alijus berkata menjadi agenda utama agar semua ketua adat dapat memberi perkhidmatan yang cekap dan berkesan demi untuk rakyat.

Jawatan ketua anak negeri sebagai ketua masyarakat pribumi hanya wujud di Sabah.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *