Kelewatan Perlantikan Ketua Kampung Sebab Isu Teknikal, Bukan Beri Ruang PTI Dapat IC

KOTA KINABALU: Dakwaan menyatakan kelewatan perlantikan ketua kampung bagi memberi ruang kepada kerajaan memberikan Kad Pengenalan (IC) kepada Pendatang Tanpa Izin (PTI) sama sekali tidak benar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick berkata, kelewatan yang berlaku adalah disebabkan masalah teknikal seperti keperluan menapis senarai calon yang terlalu ramai.

Beliau berkata, diperingkat daerah telah diwujudkan jawatankuasa penapisan bagi membuat tapisan ke atas senarai calon ketua kampung yang agak banyak.

”Kita mewujudkan jawatankuasa penapisan yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dan melibatkan wakil rakyat serta pemimpin di setiap daerah.

”Jawatankuasa ini yang bertanggungjawab membuat tapisan senarai calon dan proses ini yang menyebabkan kelewatan berlaku,” katanya ketika ditanya tentang dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kerajaan sengaja melambatkan perlantikan Ketua Kampung kerana mahu memberi ruang kepada PTI mendapatkan IC.

Pada Rabu, satu laporan polis dibuat oleh Wira Warisan Keningau berikutan mesej yang tular mendakwa kerajaan sengaja melambatkan perlantikan Ketua Kampung bagi memberi IC kepada PTI di Sabah.

Katanya, jika dilihat dari segi perlantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga perlukan tapisan bagi memastikan setiap 13 ahli jawatankuasa (AJK) yang dipilih memenuhi kriteria dan tidak mempunyai sebarang rekod kes mahkamah. Proses sebegini memerlukan sedikit masa.

”Saya setuju dengan pandangan rakyat, saya fahami keluhan rakyat. Apabila sesi persekolahan bermula banyak borang dan dokumen memerlukan pengesahan.

”Atas sebab itulah, watikah perlantikan MPKK akan dipercepatkan dan disampaikan pada bulan ini di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Adun masing-masing. Setakat ini, tujuh kawasan telah siap memproses sepenuhnya senarai AJK.

”Mungkin ada kawasan yang masih memerlukan sedikit masa bagi menapis senarai calon tetapi, ia tidak boleh terlalu lama.

”Bagi perlantikan Ketua Kampung pula, ia dibawah bidang kuasa Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Amanat Menteri Pembangunan Luar Bandar kepada pegawai-pegawai daerah tahun 2019, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, ada beberapa daerah sudah melantik Ketua Kampung tapi kelewatan perlantikan di daerah-daerah lain tidak seharusnya dikaitkan dengan pemberian IC. Ini sama sekali tidak benar.

Terdahulu dalam ucapannya, Ewon berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri memandang serius kelewatan perlantikan MPKK dan Ketua Kampung ini. Disebabkan itulah, proses tapisan itu perlu disegerakan.

”Saya berharap perlantikan ini mencakupi keseimbangan politik dan sensitiviti suku-suku etnik di daerah masing-masing,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ewon juga mahu setiap MPKK yang dilantik supaya menyediakan profil kampung masing-masing mengikut template yang telah dipersetujui.

”Saya juga dimaklumkan bahawa sejumlah RM3 juta peruntukan awal telahpun tersedia di KPLB Persekutuan untuk geran aktiviti MPKK bagi tahun ini.

”Sudah tentunya kawasan yang telah menyiapkan lebih awal perlantikan MPKK dan profil kampung ini juga menjadi yang terawal untuk menerima geran tersebut. Maka, gunakan sebaik mungkin peruntukan yang diberikan itu,” jelasnya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *