Tawau rekod 128 kes kemalangan awal tahun ini

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus

TAWAU, 31 Jan – Tawau merekodkan kadar kemalangan maut tertinggi di Sabah dan berada pada tahap membimbangkan serta memerlukan kesedaran semua pihak, kata Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus.

Pada awal tahun ini sahaja, 128 kes kemalangan direkodkan di Tawau dengan tiga daripadanya  kemalangan maut dan enam lagi cedera parah.

“Imbas kembali, pada tahun 2018, Tawau merekodkan jumlah kemalangan maut tertinggi daripada 20 daerah di Sabah iaitu 31 kes kemalangan maut dan pada tahun 2017 (35 kes).

“Walaupun perbandingan menunjukkan penurunan, tapi jumlah ini membimbangkan sebab itu kita cuba elakkan kemalangan maut dengan perlu meningkatkan kesedaran masyarakat terutama pengguna jalan raya,” katanya ketika menyempurnakan pelancaran Ops Selamat Tahun Baharu Cina 2019 (IPD) Tawau di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fadil berkata antara penyumbang berlaku kemalangan maut di daerah ini ialah pemandu mengabaikan had laju yang ditetapkan, tidak melakukan pemeriksaan kenderaan serta cuai ketika berada di jalan raya.

“Antara laluan yang sering merekodkan kemalangan maut ialah Jalan Tawau-Semporna dan Jalan Tawau-Kalabakan yang turut berpunca ekoran ketiadaan lampu jalan dan keadaan jalan raya yang rosak” katanya lagi.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar tidak sesekali membenarkan anak bawah umur yang tidak memiliki lesen memandu kenderaan kerana perbuatan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Ops Selamat peringkat Tawau dilaksana selama dua minggu bermula 29 Jan-12 Feb sebagai antara  kempen kesedaran selain melancarkan perjalanan lalu lintas sepanjang musim perayaan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *