Nasi Lemak London

Lokasi kedai Nasi Lemak Nek Nong yang mula dibuka awal bulan ini di London. – Foto Ihsan Duzy Norazamnas

KOTA KINABALU: Impian untuk memperkenalkan nasi lemak di seluruh dunia mendorong anak kelahiran Sabah mengambil langkah berani membuka kedai Nasi Lemak Nek Nong di London.

Pada September lalu, Duzy Noramzamnas Abdul Aziz, 30, yang sebelum ini mengusahakan Warung Nasi Lemak Ben-Seoul di Korea Selatan meninggalkan negara itu untuk mengembangkan sayap dan mencari peluang perniagaan di ibu kota terbesar di United Kingdom.

Duzy berkata, dia mengambil keputusan untuk ke London kerana sambutan menggalakkan dari negara itu serta ramai rakyat negara ini berada di kota berkenaan dan sering mencari makanan Malaysia.

“Tidak seperti restoran Malaysia lain di sini (London), hidangan utama saya ialah nasi lemak berlauk panas.

“Ia sama seperti yang saya lakukan di Seoul. Apabila bercakap mengenai perniagaan makanan, wujud pasaran besar di London.

DUZY (dua dari kanan) bersama pelanggannya. -Foto Ihsan Duzy Noramzamnas

“London adalah bandar yang menghimpunkan pelbagai budaya dan orang dari seluruh dunia berhijrah ke sini serta berkongsi makanan mereka. Itulah yang saya mahu lakukan,” katanya.

Mengambil masa lima minit berjalan kaki dari Stesen Paddington dan bersebelahan Bayswater, Nasi Lemak Nek Nong mendapat sambutan menggalakkan sejak dibuka pada awal Januari dengan pelanggan tetap termasuk rakyat Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Seperti warung di Seoul yang ditutup, Duzy berkata, keunikan nasi lemaknya ialah ia dihidangkan dengan sambal istimewa, ikan bilis, timun, telur dan beberapa lauk tambahan seperti sotong, kupang dan ayam.

Anak kelahiran Penampang menamakan restoran di London dengan mengambil nama panggilan ibunya, Nek Nong.

“Saya ingin mengambil berkat daripada ibu. Sebab itu saya menggunakan nama panggilannya di London.

“Dalam semua yang saya lakukan ia kerana ibu saya. Dia adalah orang yang mengajar saya untuk memasak dan mewarisi resipinya.

“Saya ingin menghargai ibu di sini dan Alhamdulillah perniagaan itu berkembang,” katanya.

Menurutnya, nasi lemaknya diminati dan diterima masyarakat di London. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *