Lelaki Terjunam Dengan Kereta Di Sungai Sembulan Dijatuhi Hukuman Penjara 22 Tahun 8 Bulan Dan 3 Sebatan

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang dikehendaki polis atas beberapa kesalahan jenayah termasuk merompak sehingga mengakibatkan kecederaan dijatuhi hukuman penjara berjumlah 22 tahun 8 bulan serta tiga sebatan oleh dua mahkamah berbeza di sini hari ini.

Mohd Zulkhairul Nizam Yacob, 28, berjaya ditangkap selepas dia dan keretanya terjunam ke dalam Sungai Sembulan pada 23 Jan lalu, iaitu dua hari selepas merompak dan mencederakan seorang wanita di Taman Hiburan.

Mohd Zulkhairul Nizam Yacob ditangkap selepas terjunam ke dalam Sungai Sembulan bersama keretanya. Gambar Fail SNT

Dia menghadapi pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen manakala dia juga menghadapi satu lagi pertuduhan meragut di Mahkamah Majistret.

Kes di Mahkamah Majistret tersebut merupakan kes tahun lalu namun belum selesai selepas Mohd Zulkhairul melarikan diri semasa dalam jaminan.

Mohd Zulkhairul Nizam Yacob. Gambar SNT

Mohd Zulkhairul, seorang penganggur terlebih dahulu dibawa ke Mahkamah Sesyen di mana dia mengaku salah terhadap pertuduhan itu dihadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.

Noor Hafizah memerintahkan Mohd Zulkhairul dipenjara 18 tahun dan dikenakan tiga kali sebatan rotan atas kesalahan itu.

Menurut fakta kes, Mohd Zulkhairul menyerang mangsa, Lee Cheng Wen daripada belakang dengan menggunakan sebatang besi diluar rumahnya ketika mangsa baru balik dari kerja lebih kurang jam 7.30 malam.

Lee mengalami kecederaan teruk dikepala dan terpaksa menjalani pembedahan di hospital.

Mohd Zulkhairul melarikan beg tangan mangsa yang mengandungi dompet, telefon bimbit, MyKad, kad ATM dan kad kredit.

Siasatan mendapati tertuduh berjaya mengeluarkan wang berjumlah RM11,550 menggunakan empat kad ATM mangsa.

Selepas ditangkap di Kampung Sembulan pada 23 Januari lalu, Mohd Zulkhairul memandu arah  sehingga sebatang besi berukuran 35 cm iaitu senjata yang digunakan dalam rompakan ditemui oleh polis.

Dia turut membawa polis ke satu kawasan di Asia City di mana dia menyembunyikan barang milik mangsa.

Mohd Zulkhairul yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan kerana dia mempunyai dua orang anak yang perlu dijaga. 

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip meminta Mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai satu pengajaran buat Mohd Zulkhairul dan juga orang awam bahawa jenayah membawa padah.

Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan rotan jika didapati bersalah.

EMPAT TAHUN PENJARA LAGI ATAS KESALAHAN MERAGUT DI CITY MALL TAHUN LALU

Selepas itu, Mohd Zulkhairul dihadapkan pula ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan meragut beg tangan seorang wanita di belakang bangunan City Mall pada 2 Februari 2018, jam 8.15 malam.

Mohd Zulkhairul kali ini mengaku salah dihadapan Majistret Mohd Aizat Abdul Rahim atas pertuduhan meragut beg tangan kepunyaan Euphrosy Sabrina Chiew.

Bagi kesalahan itu, Mohd Aizat mengarahkan dia dipenjarakan selama empat tahun.

Mohd Aizat dalam keputusannya menjatuhkan hukuman tersebut menyatakan mahkamah mengambil kira bahawa kes itu sudah separuh bicara dan juga waran tangkap telah di keluarkan terhadap Mohd Zulkhairul.

Pada 7 Mac 2018, Mohd Zulkhairul telah mengaku  tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan sebelum menghilangkan diri selepas diikat jamin.

Menurut pegawai pendakwaan Inspektor Albert Basiri, Mohd Zulkhairul ketika itu berjaya ditangkap dengan bantuan orang awam yang sempat menghadangnya daripada memandu kereta keluar dari kawasan itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam satu kes berlainan, Mohd Aizat menjatuhkan lapan bulan lagi penjara selepas Mohd Zulkhairul mengaku mengambil dadah pada 23 Januari 2017.

Dia dituduh melakukan kesalahan dibawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya yang boleh didenda sehingga RM5,000 atau sehingga dua tahun selepas sabit kesalahan.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bagi kesemua kesalahan dijalankan berasingan bermula dari tarikh tangkapan.-SabahNewsToday

Berita Asal : https://www.sabahnewstoday.com/lelaki-terjunam-dengan-kereta-di-sungai-sembulan-dijatuhi-hukuman-penjara-berjumlah-22-tahun-8-bulan-dan-3-sebatan/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *