Jumpa dadah dalam kereta, suami isteri ditahan

Seorang lelaki lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di Beaufort Square, Beaufort. – Foto ihsan PDRM

BEAUFORT: Pasangan suami isteri ditahan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di Beaufort Square, di sini, semalam.

Pasangan berusia 54 dan 47 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, pada jam 11.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, berkata dalam operasi itu polis menahan sebuah PERODUA Kancil kerana disyaki terbabit aktiviti dadah.

“Selepas memperkenalkan diri sebagai anggota polis, pemeriksaan dilakukan dan kami menemui satu paket plastik berisi hablur dan ketulan dipercayai syabu di hadapan gear kereta yang dibaluti dengan tuala.

“Dadah seberat 12.84 gram bernilai RM1,200 bersama tangkapan kemudian dibawa ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, ujian air kencing mendapati lelaki terbabit positif syabu manakala isterinya negatif dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui sumber dadah diperoleh.

“Kedua-dua suspek adalah pasangan suami isteri dan didapati suspek lelaki mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki di pekan Beaufort. Mereka direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *