Jalan ke sekolah tenggelam

Jalan menuju ke SK Pantai Boring dinaiki air akibat banjir. FOTO Ihsan Gur SK Pantai Boring

WALAUPUN sekolah di Sabah termasuk daerah Beluran kembali beroperasi selepas ditutup beberapa hari akibat banjir, sebahagian guru dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai Boring di Beluran tidak dapat ke sekolah.

Ia berikutan laluan ke sekolah itu ditenggelami banjir menyebabkan 14 guru terkandas dan terpaksa berpatah balik manakala 81 murid tidak hadir sesi pembelajaran, hari ini.

Guru Besar SK Pantai Boring, Mohamad Jalih berkata, kawasan berhampiran sekolah kebiasaannya mengalami banjir selepas kawasan di hulu reda daripada bencana itu kerana terletak di kawasan hilir Sungai Sugut.

“Sebelum ini berlaku banjir besar di kawasan Lingkabau dan Binsulung, jadi apabila banjir di sana surut, ia mengalir ke tempat kami.

“Keadaan ditambah lagi dengan air pasang menyebabkan air di jalan raya boleh mencecah ketinggian sehingga dua meter,” katanya hari ini.

Mohamad berkata, keadaan itu berlaku sejak lewat petang semalam dan sesi pembelajaran serta pengajaran terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

“Keadaan ini selalunya berlaku beberapa hari. Pagi tadi kami (guru) cuba melalui laluan yang digenangi banjir tetapi tidak berjaya dan guru terpaksa berpatah balik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Mistirine Radin berkata, dua sekolah di daerah Beluran yang ditutup semalam akibat banjir sudah dibuka hari ini.

Dua sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sualok dan SK Binsulung, masing-masing membabitkan 203 murid dan 229 murid dengan 13 dan 14 guru.

“Bagaimanapun pra sekolah SK Sualok masih ditutup akibat kawasan bangunan masih ditakungi air,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *