2,000 sertai Warisan di Putatan

Sebahagian daripada ketua-ketua cawangan parti pembangkang kawasan Putatan yang menyertai parti Warisan pada majlis penerimaan borang keahlian parti Warisan malam ini. – Foto Bernama

KOTA KINABALU, 30 Jan – Kira-kira 2,000 orang daripada 38 cawangan Parti Warisan Sabah (Warisan) di bahagian Putatan hari ini menyerahkan borang keahlian parti.

Borang keahlian itu diserahkan oleh ketua-ketua cawangan berkenaan kepada Ketua Bahagian Warisan Putatan Terence Siambun dan disaksikan oleh Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Uda Sulai.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Terence berkata kebanyakan mereka yang menyertai Warisan itu adalah bekas anggota UMNO yang telah meninggalkan parti berkenaan sebelum ini.

“Ada juga dalam kalangan mereka yang belum pernah menyertai mana-mana parti sebelum ini…dan saya lihat kemasukan beramai-ramai pada hari ini menunjukkan parti ini semakin diterima oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata kemasukan kira-kira 2,000 anggota baharu itu kini menjadikan Warisan Putatan kini mempunyai lebih 10,000 ahli dan lebih 100 cawangan.

Sementara itu, Uda yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Petagas berkata kemasukan anggota baharu berkenaan akan memperkuatkan lagi parti itu di bahagian tersebut.

“Kemasukan ini menunjukkan keyakinan masyarakat Putatan terhadap Warisan. Mereka yang menyertai Warisan ini tidak dipaksa dan tiada habuan yang diberikan kepada mereka.

“Oleh itu saya meminta semua anggota parti di Putatan ini terus menyokong pucuk pimpinan demi pembangunan di Sabah khususnya di Putatan,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *