‘Beginilah nasib kami’

Tinggalan tetap menoreh getah walaupun harga komoditi itu jatuh. FOTO Khairull Azry Bidin

KETIKA kebanyakan orang masih dibuai mimpi, seorang warga emas di Kampung Lontik Maralamin, Topokon, kira-kira 10 kilometer dari Tuaran sudah bergerak ke kebun getah bersebelahan rumahnya untuk menoreh.

Itu rutin harian Tinggalan Komunta, 82, sejak kira-kira setengah abad lalu untuk mencari rezeki dengan `menghadap’ pokok getah meskipun harga komoditi itu tidak menentu dan berada pada tahap rendah ketika ini.

“Jam 1 pagi saya mula menoreh dan selesai kira-kira jam 3 pagi sebelum disambung kerja mengutip susu getah bermula jam 4 hingga 5 pagi. Selepas itu saya memproses susu getah menjadi kepingan dan siap sepenuhnya pada jam 7 pagi.

“Kalau diikutkan dengan harga getah yang sangat rendah sekarang ini, apa yang saya buat nampak macam tidak berbaloi tetapi saya terpaksa terima kerana ini saja sumber rezeki saya,” katanya ditemui di kebun getahnya.

Tinggalan melakukan rutin hariannya sebagai penoreh getah. FOTO Khairull Azry Bidin

Setiap hari, kecuali hujan, Tinggalan menoreh kira-kira 200 pokok getah di kawasan tanah berbukit seluas 1.2 hektar dan memperoleh dua kepingan getah dengan berat basah kira-kira 10 kilogram sekeping atau enam hingga tujuh kilogram sekeping apabila kering.

Katanya, berdasarkan harga runcit semasa komoditi itu yang ditetapkan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) iaitu purata RM2 sekilogram bagi kepingan gred satu dan RM1.80 sekilogram bagi kepingan gred dua, dia hanya mampu memperoleh kira-kira RM400 sebulan.

Jumlah itu, katanya, adalah hasil jualan kira-kira 200 kilogram getah kepingan, namun hasil yang boleh diperoleh merosot jika musim hujan kerana banyak hari tidak dapat menoreh disebabkan laluan licin atau pokok basah.

“Pendapatan RM400 hasil menoreh getah memang tidak mencukupi memandangkan harga barang sekarang ini semakin mahal. Cuma saya bernasib baik kerana hanya menyara diri sendiri, anak-anak lapan orang semua sudah besar, ada keluarga dan kebun getah sendiri,” katanya.

Tinggalan berkata, harga getah yang ditetapkan LIGS ketika ini juga tidak menentu, sering berlaku turun naik antara lima hingga 15 sen, berbeza kira-kira 10 tahun lalu ketika harga komoditi itu pernah mencapai RM9 sekilogram dengan purata turun naik harga antara RM1 hingga RM2.

Ketika itu, katanya, pendapatannya sebagai penoreh getah sangat lumayan dengan hasil boleh mencecah hingga RM4,000 sebulan.

Sementara itu, anaknya, Dosimon, 56, yang memiliki kebun getah seluas kira-kira 1.2 hektar, berkata walaupun kerajaan negeri ada memberi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) iaitu 35 sen bagi setiap kilogram jualan getah ketika ini, ia tidak memadai.

Dengan insentif itu, katanya, mereka hanya memperoleh RM35 bagi setiap 100 kilogram getah atau kira-kira RM70 sebulan berdasarkan hasil jualan 200 kilogram getah kepingan.

Dosimon berkata, musim kemarau selain ketibaan musim daun getah gugur menambahkan lagi kesukaran penoreh getah kerana menjejaskan pengeluaran lateks atau susu getah.

“Bagaimanapun, saya hanya menjadikan menoreh getah sebagai aktiviti sambilan. Kebiasaannya saya melakukan kerja kontrak sebagai pemandu jentera pengorek tetapi ketika kontraktor yang selalu memanggil saya tiada projek saya beralih menoreh getah,” katanya.

Seorang lagi penoreh getah, Nancy Mangatas, 47, berkata dia terpaksa melakukan kerja lain untuk menampung perbelanjaan keluarga disebabkan harga getah yang sangat rendah ketika ini.

Katanya, dia kini menanam lada hitam dan membiakkan bibitnya untuk dijual kepada petani yang berminat di sekitar kampung atau tamu mingguan di Tuaran dan Tamparuli, di sini dengan harga RM10 setiap satu polibeg.

“Ramai juga yang berhenti menoreh selepas harga getah jatuh dan terpaksa mencari kerja lain seperti di pasar raya di pekan Tuaran, kilang-kilang atau berniaga sendiri. Hanya yang tidak berminat melakukan kerja lain terus bertahan menoreh getah,” katanya. – Harian Metro

INFO – Harga runcit getah di Sabah (RM/kg) 22 Januari 2019

* RM3.60 – lateks / susu getah

* RM2.15 – kepingan gred 1

* RM1.80 – kepingan gred 2

* RM2.00 – kentalan gred 1

* RM1.70 – kentalan gre

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *