Tiada rancangan bina balai bomba di Pulau Banggi, Kudat – Zuraida

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak merancang untuk membina balai bomba di Pulau Banggi, Kudat, Sabah walaupun pulau terbesar negara dengan penduduk mencecah 22,000 orang itu, tidak memiliki kemudahan berkenaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata ia kerana Pulau Banggi tidak menepati syarat untuk pembinaan balai bomba.

Bagaimanapun, katanya, Pulau Banggi sudah memilki bomba sukarelawan yang dilatih anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta diberikan kelengkapan asas untuk memadamkan kebakaran.

“Memang kita ada dasar, bila kita nak bina balai bomba, ada beberapa perkara yang harus diberikan pertimbangan, seperti peratusan kawasan industri dan sebagainya.

“Dalam kes Pulau Banggi, memang pulau ini tidak ada kelayakan (untuk pembinaan balai bomba), tapi kita ada bomba sukarelawan di situ.

“Pulau Banggi itu ada pembangunan yang nak dibuat, jadi kita kena tengok perancangan jangka panjang, bukan adhoc (secara tergesa-gesa).

“Takkanlah sekali Pulau Banggi terbakar, bina satu balai bomba, sekali rumah kamu terbakar, macam mana,” katanya pada sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Rumah Transit Belia KPKT dan Rumah Mampu Milik di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pengarah Perumahan Negara, KN Jayaselan.

Zuraida berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan merancang untuk membina balai bomba di Pulau Banggi, susulan kebakaran kira-kira 80 rumah di Kampung Perpaduan Karakit, Pulau Banggi yang mengakibatkan lebih 300 penduduk hilang tempat tinggal, 13 Januari lalu.

Sebelum ini, Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah, dilaporkan berkata cadangan membina sebuah balai bomba di Pulau Banggi, sudah disuarakan sejak dua tahun lalu namun ia bergantung pada peruntukan kewangan kerajaan.

Kamarulzaman juga mengakui Pasukan Bomba Sukarelawan di pulau itu yang diwujudkan sejak 2012, kurang aktif dan harus diaktifkan semula, selain beberapa kempen diadakan bagi memberi kesedaran kepada penduduk mengenai kebakaran. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *