Sabah mohon semula peruntukan bagi projek tebatan banjir Kota Marudu

Keadaan Banjir di beberapa kampung di Kota Marudu kelmarin. Foto Medial Sosial

KOTA KINABALU – Sabah akan memohon semula peruntukan daripada kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembagan Sungai Bahau, Dataran Bandau, Kota Marudu berikutan masalah banjir belum dapat diatasi sepenuhnya di daerah itu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong berkata kementeriannya menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah sebelum ini telah memohon peruntukan RM156 juta di bawah Pelan Pusingan Pertama dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), namun, belum ada kelulusan.

“Rancangan ini merangkumi projek RTB Pekan Tandek dan Pekan Marudu Goshen. Sabah akan memohon semula peruntukan tersebut di bawah Pelan Pusingan Kelima RMK11 memandangkan ia sangat mendesak dan memberi kesan kepada kehidupan rakyat di daerah itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kejadian banjir melanda 12 kampung di Kota Marudu yang menyebabkan 118 mangsa daripada 33 keluarga terpaksa dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara berikutan hujan berterusan sejak petang semalam.

Junz berkata kerja-kerja pencegahan banjir telah dijalankan oleh JPS sejak 1984 di bawah Rancangan Malaysia Keempat (RMK4) dan diteruskan sehingga kini antara lain membabitkan Sungai Langkon, Sungai Bandau, Sungai Rasak, Sungai Sumbilingon (Sungai Selaping) dan Sungai Bongon. 

Menurutnya, kerja-kerja pencegahan itu hanya mampu mengurangkan tempoh surut banjir daripada dua minggu kepada dua hari.

“Namun, beberapa sungai utama seperti Sungai Kinarom (Bongon), Sungai Bandau dan Sungai Tandek telah cetek dan mengakibatkan banjir mudah berlaku. Justeru, sungai ini perlu diberi keutamaan dalam pelaksanaan projek itu seterusnya mengurangkan masalah banjir,” katanya.

Junz turut mengarahkan JPS mengambil tindakan proaktif membersihkan semua ‘monsoon drains’ bagi mengelakan banjir kilat daripada terus berlaku semasa musim hujan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *