Suasana pilu ibu cuba bangunkan anak lemas

Dayang Nurjayha menangis sebaik mayat anaknya ditemui di sungai Kampung Cenderamata 2, Likas. – NSTP/Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: “Nak, bangunlah, ada nasi lemak bapa belikan,” demikian rintihan Dayang Nurjayha Bayo, 33, ibu kepada Datu Aliudin Datu Aidar, 10, yang ditemui lemas ketika mandi di sungai Kampung Cenderamata 2, Likas di sini, hari ini.

Ketika pasukan bomba menemui mayat Aliudin, ibunya meluru lalu memeluk anaknya dan meminta Aliudin bangun sambil mengusap kepala anaknya.

Suasana bertukar pilu di lokasi kejadian apabila ibu mangsa berkali-kali meminta Aliudin bangun untuk sarapan bersama-sama sambil meraung.

Suaminya yang juga bapa tiri mangsa, Dzul Edzuandy Ali Asbah, 37, yang turut berada di lokasi, cuba menenangkan Dayang Nurjayha dan membawanya ke rumah berhampiran.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, seorang lagi rakan mangsa iaitu Mohd Asraf Abdullah, 11, turut ditemui lemas.

Difahamkan, kedua-dua mangsa bermain dengan menjadikan sebuah peti ais lama sebagai perahu sebelum kedua-dua mangsa terjatuh dan hilang dalam air.

Menurut Dzul Edzuandy, sebelum kejadian, anak tirinya meminta izin keluar untuk pergi ke kedai runcit bagi membeli makanan ringan.

“Ketika itu, saya hendak keluar ke gerai menjual makanan untuk membeli nasi lemak sebagai sarapan kami sekeluarga dan dia meminta izin pergi ke kedai runcit membeli makanan ringan.

“Saya kemudian memberi wang dan memintanya supaya segera kembali untuk sarapan bersama,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah, isteri memaklumkan anaknya hilang ketika bermain di sungai.

“Saya terus bergegas bersama-sama jiran ke lokasi kejadian untuk mencari Aliudin.

“Dia (anak) jarang ke sungai… pernah juga dia pergi tapi untuk bermain layang-layang di kawasan lapang dekat sungai,” katanya.

Dalam pada itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 12.15 tengah hari, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dilakukan dan pada jam 2.51 tengah hari, mangsa Datu Aliudin berjaya ditemui berdekatan lokasi mangsa lemas.

“Operasi SAR kemudian diteruskan untuk mencari seorang lagi mangsa dan pada jam 4.40 petang, mangsa terakhir berjaya ditemui berhampiran lokasi yang sama,” katanya.

Operasi SAR membabitkan seramai 22 anggota dan pegawai bomba, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman, ketika ditemui di lokasi berkata kedua-dua mangsa sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk bedah siasat.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat daripada JBPM dan polis yang bertungkus lumus mencari dua kanak-kanak ini.

“Alhamdulillah dalam tempoh empat jam selepas kejadian itu, pasukan penyelamat berjaya menemui mayat mangsa,” katanya.

“Saya ada menemui keluarga mangsa dan meminta ibu bapa memainkan peranan mengawasi pergerakan anak-anak mereka supaya tidak bermain di lokasi ini kerana ia bahaya dan tidak pagar lebih-lebih lagi sekarang ini musim hujan dan kita minta ibu bapa pantau kegiatan anak-anak mereka,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *