Sabah perlu pengubah, mula teroka peluang dalam produk hiliran komoditi

Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal  tiba di majlis perhimpunan korporat Benta Wawasan Sdn Bhd (BWSB) di ketua menteri Sabah, di Dewan Serbaguna, Ladang Seraya

TAWAU, 26 Jan – Sabah perlu ada pengubah dan mula meneroka peluang dalam produk hiliran bagi setiap komoditi seperti koko, getah dan kelapa sawit memandangkan ketidaktentuan harga komoditi itu, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata sektor pertanian merupakan penyumbang ketiga tertinggi terhadap hasil negara dan Sabah perlu memastikan peningkatan aktiviti hiliran supaya kelangsungan sumber dalam sektor ini dapat menambah hasil negara serta membuka peluang pekerjaan kepada belia di negeri ini.

“Kita perlu ada perubahan dari segi pengurusan dan kekayaan Sabah, jangan hanya fokus kepada menanam komoditi, kalau boleh kita mewujudkan aktiviti hiliran, tanam getah dan buat tayar, tanam koko dan buat kek coklat, tanam sawit buat minyak sawit jenama Sabah.

“Ketika ini kita tidak memiliki aktiviti hiliran walaupun kita banyak ladang tanaman. Kenapa kita tidak ada kilang hiliran di Sabah? khususnya Tawau tetapi di Shah Alam atau Petaling Jaya (ada kilang hiliran), pelbagai yang boleh kita teroka dan kajian mesti dijalankan untuk meningkatkan aktiviti hiliran ini,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis perhimpunan korporat Benta Wawasan Sdn Bhd (BWSB) di ketua menteri Sabah, di Dewan Serbaguna, Ladang Seraya dekat sini.

Bagi merealisasikan usaha aktiviti hiliran itu, Mohd Shafie berkata arahan akan dikeluarkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah untuk merangka pelan tindakan dalam tempoh tiga bulan merangkumi langkah serta sektor yang perlu ditingkatkan dari aspek perikanan dan pertanian.

Mengenai BWSB, beliau berkata entiti itu perlu berubah daripada pentadbiran sebelum ini supaya ditadbir secara lebih telus, amanah serta cemerlang agar manfaatnya dapat dikembalikan kepada rakyat.

“Kita (kerajaan negeri) sebelum ini telah memberi tanah kepada Benta Wawasan sebanyak 150,000 hektar, tujuannya supaya tanah ini dimajukan, tetapi malangnya yang diuruskan Benta cuma 40,000 hektar dengan 25,000 hektar ditanam kelapa sawit. Mana baki 110,000 hektar tanah lagi?, bagi kepada siapa?,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyalurkan RM750 juta kepada BWSB tetapi yang tinggal kini hanya RM30 juta.

“Tanah tiada. Duit mana?, kayu mana?, tetapi tinggal RM30 juta,” katanya.

Mohd Shafie berkata sokongan serta komitmen daripada semua pihak termasuk warga kerja Benta Wawasan dapat mengembalikan hasil dalam bentuk faedah yang dapat dinikmati seluruh rakyat Sabah.

— BERNAMA

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal  semasa berucap di majlis perhimpunan korporat Benta Wawasan Sdn Bhd (BWSB) di ketua menteri Sabah, di Dewan Serbaguna, Ladang Seraya dekat sini, hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *