Makan durian sampai puas

KOTA KINABALU : Program Makan Durian Sampai Kenyang mencuri tumpuan pengunjung di Tamu Besar Korporasi Pembangunan Desa (KPD) di Kompleks Pemasaran KPD, Tanjung Lipat, Likas, Kota Kinabalu hari ini.

Penggemar durian seperti biasa tidak menolak dan melepaskan peluang untuk menikmati keenakan ‘raja buah’ itu meskipun dalam keadaan cuaca hujan.

Usahawan tani, Edward Tee, 44, yang mengendalikan program makan durian itu berkata, setiap pengunjung hanya perlu membayar RM25 untuk menikmati pelbagai jenis durian tempatan termasuk durian susu, durian tembaga dan durian D24 sepuas-puasnya dalam tempoh dua jam.

“Durian ini dibawa terus dari Eco Max Farm, sebuah kebun durian terletak di Kampung Nalapak, Ranau.

“Kira-kira 1,500 biji atau 750 kilogram durian dibawa untuk program hari ini dan jumlah durian itu boleh dinikmati 200 pengunjung,” katanya hari ini.

Program makan durian sampai kenyang itu adalah salah satu acara menarik ditawarkan kepada orang ramai yang berkunjung ke Tamu Besar KPD hari ini.

Edward berkata, program itu juga bertujuan mempromosikan keistimewaan dan keunikan buah-buahan tropika tempatan selain memberi kesedaran kepada penduduk bahawa buah-buahan tempatan ada kualiti tersendiri kerana menggunakan baja mesra alam.

Dia turut menggalakkan golongan muda di Sabah untuk menceburkan diri dalam sektor pertanian sekali gus mengusahakan tanah keluarga dengan menanam sayur-sayuran atau buah-buahan yang mendatangkan hasil.

Sementara itu, Pengurus Besar KPD Kalimin Sahadi berkata, Tamu Besar KPD itu diadakan sempena Tahun Baharu Cina 2019 selama dua hari berakhir esok bagi memberi peluang kepada penduduk khususnya masyarakat Cina membuat persediaan menyambut perayaan itu.

Sebanyak 136 gerai jualan menawarkan pelbagai produk hasil pertanian termasuk dari luar bandar yang beroperasi dari jam 10 pagi hingga 7 malam hari ini dan dari jam 6 pagi hingga 1 tengah hari esok. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *