Polis minta Majlis Daerah Semporna roboh rumah pengedar dadah di perkampungan air

SEMPORNA, 25 Jan – Polis meminta Majlis Daerah Semporna (MDS) merobohkan rumah atas air yang didiami pengedar dadah dengan kesalahan berulang dalam usaha menangani jenayah dadah di perkampungan atas air di daerah ini. 

Menegaskan perkara itu,Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas berkata cadangan kepada MDS  adalah itu tertakluk di bawah peruntukan undang-undang kecil  pihak berkuasa tempatan.

“Perkara ini (roboh) juga mengambil kira pengedar dadah itu membina rumah di atas perkampungan air dan tinggal tanpa kebenaran selain menjalankan aktiviti mengedar dadah.

“Kita tidak boleh bertolak ansur, kita sangat serius, kita guna undang-undang kecil MDS,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Semalam, menurut Peter, polis menahan dua pengedar dadah berumur 19 dan 22 tahun dibawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985) antara pukul 5.15 petang hingga 5.50 petang di Jalan Inabah Kamal serta Jalan Seri Melor di sini.

Katanya, kedua-dua suspek lelaki warga asing yang beralamat rumah di kampung atas air itu ditahan susulan siasatan dan tangkapan 105 individu pada Dis tahun lalu, yang turut menahan empat pengedar dadah dalam serbuan Ops Sarang di Kampung Bangau-Bangau di sini.

“Masalah dadah di Semporna ini kebanyakan yang terlibat individu yang kita beri istilah sebagai Pendatang Dengan Izin  serta Pendatang Asing Tanpa Izin,” katanya.

Peter berkata trend kemasukan dadah ke Semporna terkini bukan melalui jalan laut sebaliknya dari dalam negara sendiri termasuk dari Kuala Lumpur.

Katanya lagi, pemeriksaan susulan akan turut dilakukan terhadap kawasan yang sudah di serbu dalam operasi polis bagi membanteras jenayah dadah dari berleluasa.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *