Lelaki pasang jerat ditemui mati

Operasi SAR ketika mengesan Juanis yang hilang di Kampung Togop Laut, Ranau. – Foto Recqueal Raimi

Lelaki yang tidak pulang ke rumah selepas dipercayai keluar memasang jerat di kebun di Kampung Togop Laut, Ranau, semalam, ditemui dalam keadaan tertiarap dan disahkan meninggal dunia, hari ini.

Difahamkan, Juanis Gobou, 57, ditemui pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dibantu polis serta penduduk kampung, kira-kira 3.30 petang, hari ini.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Devi Rashedee Engsoi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis berhubung kejadian kira-kira 9.30 malam tadi.

“Ahli keluarga memaklumkan mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk memasang jerat di kebun, manakala operasi SAR bermula 9 pagi hari ini.

“Mangsa ditemui kira-kira tujuh kilometer di Kampung Tarawas dari kawasan kebun dalam keadaan tertiarap, selain turut ditemui seutas tali dipercayai untuk memasang jerat,” katanya kepada Harian Metro.

Mayat diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Ranau untuk tindakan lanjut.

Devi berkata, operasi SAR ditamatkan sebaik mangsa ditemui dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan hospital Ranau. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *