Lelaki, bekas kekasih ditemui mati

Foto Ihsan Pembaca

KOTA KINABALU : Lelaki dan wanita ditemui meninggal dunia akibat keracunan karbon monoksida selepas tertidur dalam kenderaan di parkir tingkat tiga, sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian 3 pagi itu, lelaki berusia 23 tahun itu difahamkan adalah bekas kekasih kepada wanita terbabit yang berusia 20 tahun.

Mereka ditemui berada di tempat duduk hadapan Perodua Kenari dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, polis menerima maklumat orang awam berhubung penemuan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di parkir itu.

“Seterusnya, polis membuat pemeriksaan dan menemui lelaki dan wanita tidak sedarkan diri di tempat duduk hadapan kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, siasatan polis mendapati kedua-dua mereka tertidur, namun tidak dapat dipastikan tarikh dan masa mereka berada di dalam kenderaan itu sehingga ditemui pada pagi ini.

“Pada jam 5.11 pagi, pegawai perubatan dari hospital mengesahkan lelaki dan wanita itu sudah meninggal dunia.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah keracunan karbon monoksida,” katanya.

Sehubungan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Polis membuat pemeriksaan badan didapati tidak menunjukkan berlakunya sebarang tanda unsur jenayah yang boleh dikaitkan sebagai punca kematian mangsa,” katanya.

Terdahulu, Habibi turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengamalkan tabiat tidur dalam kenderaan dengan enjin yang tidak dimatikan atau kenderaan tidak bergerak bagi mengelak risiko kematian. – Harian Metro

Foto Ihsan Pembaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *