Sultan Pahang dipilih Agong Ke-16, Sultan Perak kekal timbalan

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah hari ini dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Jan 2019. Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara hari ini. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah, hari ini dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019.

Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara hari ini.

Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.

Mesyuarat terbabit turut memilih Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama, menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, hari ini.

Sultan Perak dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong – Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. – Foto BERNAMA

Sultan Perak dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong – Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. – Foto BERNAMA

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja, yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, dihadiri oleh kesemua Sultan dan Raja Melayu kecuali Kelantan.

Kenyataan itu menyebut, menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja sudah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen.

“Perdana Menteri juga telah dimaklumkan,” kata Syed Danial.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan pada 7 Januari berkata Majlis Raja-Raja memutuskan istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong baharu dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ditetapkan pada 31 Januari ini. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *