Beri projek kepada sepupu, penjawat awam didakwa

Pegawai SPRM mengiringi Kasrin Atchil keluar daripada Mahkamah Sesyen, di Sandakan selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan jawatan bagi mendapatkan suapan dengan mencadangkan syarikat dimiliki sepupunya untuk projek pembekalan bantuan. – NSTP/Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Seorang bekas pegawai kebajikan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, hari ini, atas tuduhan menggunakan jawatan bagi mendapatkan suapan dengan mencadangkan syarikat dimiliki sepupunya untuk projek pembekalan bantuan.

Kasrin Atchil, 57, yang ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sandakan, pada jam 10.15 pagi semalam, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat dan minta dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhan, Kasrin dituduh melakukan kesalahan itu ketika bertugas sebagai Pegawai Kebajikan Daerah Kinabatangan pada 29 Januari 2016, antara jam 2.30 hingga jam 4.15 petang di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Kinabatangan.

Dia dituduh mengambil tindakan mencadangkan kepada Jawatankuasa Kanak-Kanak Kekurangan Zat Makanan (KZM) untuk menjadikan Syarikat Usaha Garunai Contractor sebagai pembekal bagi menyalurkan pembekalan bantuan melalui program KZM daerah Kinabatangan dengan nilai RM45,000.

Syarikat terbabit dimiliki sepupu tertuduh.

Tertuduh yang juga bekas penolong pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am di sini, diwakili peguam, Majnah Abdullah, manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SRPM Sabah, Awang Samsul Baharam Bungso.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Awang Samsul meminta mahkamah menawarkan jaminan RM20,000 dengan penjamin tempatan, namun Majnah meminta budi bicara mahkamah mengurangkan wang jaminan sebanyak RM3,000 kerana tertuduh adalah penjawat awam yang mempunyai tanggungan iaitu isteri dan tiga anak.

Mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM15,000 dengan RM6,000 deposit dan seorang penjamin tempatan, selain menetapkan 15 Mac ini bagi pengurusan kes. – Berita Harian


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *