Mayat sempurna walau terperangkap hampir 3 hari

Mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada anggota keluarga.

GEORGETOWN: Polis mengesahkan identiti mangsa yang ditemui dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 sebagai Moey Yun Peng.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narensagaran, berkata pengesahan itu susulan penemuan dompet mangsa dalam seluar ketika mayat dikeluarkan.

Menurutnya, mayat mangsa berusia 20 tahun ditemui masih sempurna namun membengkak kerana berada dalam air sejak tiga hari lalu.

“Kita pasti mangsa yang ditemui dalam kenderaan terbabit adalah Moey berdasarkan identitinya.

“Mayatnya berada dalam keadaan baik walaupun kenderaan itu rosak teruk kerana dia memakai tali pinggang keledar.

“Mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada anggota keluarga,” katanya kepada pemberita di Jambatan Pulau Pinang petang tadi.

Narensagaran berkata seramai 29 pegawai dan 127 orang petugas, bersama 40 penyelam, terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat selama tiga hari itu.

Sebanyak 14 bot juga digunakan dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata mereka berada di laut sejak 9 pagi hari ini tetapi hanya berjaya mengeluarkan kenderaan itu pada jam 6 petang.

“Kami berada di sini selama tiga hari tetapi kerana keadaan cuaca dan arus bawah laut, kami menghadapi beberapa masalah,” katanya.

Ditanya sama ada beg udara kenderaan berfungsi, beliau berkata ia memang berfungsi.

Kenderaan yang rosak teruk itu ditarik menggunakan kabel yang dipasang pada kren sekitar jam 6 petang.

Ketika ditemui, mangsa masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan berkenaan. – Berita Harian

Pasukan penyelamat berjaya mengangkat kereta SUV jenis Mazda CX-5 yang terhumban ke dalam laut.
Pasukan penyelamat berjaya mengangkat kereta SUV jenis Mazda CX-5 yang terhumban ke dalam laut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *