Kereta masuk sungai, suspek kes samun ditahan

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, pada sidang media di Kota Kinabalu. – Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes samun di Taman Hiburan, Jalan Penampang, dekat sini, kelmarin, ditahan polis selepas kereta Perodua Kancil dipandunya terjunam ke dalam sungai di Kampung Sembulan, di sini, tengah hari tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, polis mengesan suspek di kawasan Sinsuran sebelum cuba dihampiri.

Bagaimanapun, menyedari kehadiran polis, suspek cuba merempuh anggota terbabit dengan kenderaannya menyebabkan polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta terbabit.

Suspek kemudian melarikan diri dan sebaik tiba di kawasan Kampung Sembulan, kereta dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Sembulan.

Anggota polis kemudian berjaya memberkas suspek dan lelaki itu yang cedera kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi berkata, beliau akan turun ke lokasi kejadian petang ini.

Kelmarin, seorang wanita berusia 30 tahun parah akibat disamun di luar kawasan rumahnya di Taman Hiburan jam, 7.30 malam.

Kejadian itu menyebabkan mangsa kerugian wang tunai selain beberapa dokumen miliknya dilarikan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *