65 individu termasuk pelancong dikompaun di Semporna

ANTARA individu yang diarah membuat kerja amal mengutip sampah sambil memakai jaket di Pekan Semporna. – Foto ihsan Pejabat Daerah Semporna

KOTA KINABALU : Seramai 65 orang termasuk pelancong dikenakan kompaun dan membuat kerja amal mengutip sampah kerana membuang sampah merata-rata di sekitar Pekan Semporna, sejak 2 Januari hingga semalam.

Pegawai Daerah Semporna, Bianus Kontong, berkata daripada jumlah itu, seramai 25 individu yang tiada dokumen pengenalan diri sah, turut diarah membuat kerja amal mengutip sampah selama sejam sambil memakai jaket tertulis ‘monyet’.

“Daripada 65 individu itu, tiga adalah pelancong termasuk dua daripadanya wanita.

“Secara umumnya, berdasarkan komen yang kita terima daripada orang awam, mereka menyatakan keadaan kebersihan di Semporna khususnya di pekan kini lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan tahap kebersihan di daerah itu selepas menggunakan hukuman itu, Bianus berkata, ia amat membantu dalam menjaga kebersihan dan menyedarkan orang ramai mengenai pentingnya menjaga kebersihan.

“Operasi payung bersepadu ini akan diteruskan sehingga daerah ini diisytiharkan bebas sampah,” katanya.

Denda kompaun dan membuat kerja amal mengutip sampah itu dilaksanakan Majlis Daerah Semporna mulai 1 Januari lalu.

Baru-baru ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan berkata, kerajaan yakin sasaran untuk menjadikan Semporna sebagai daerah bebas sampah menjelang 1 April ini mampu dicapai.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya tindakan dan hukuman pemakaian jaket kepada MDS, termasuk jika cara itu mampu mengubah sikap orang ramai dan memberi kesan terhadap kebersihan di daerah ini. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *