Ndak boleh sabung ayam di sini!

KENINGAU : Polis memberi amaran kepada orang awam di Keningau bahawa aktiviti menyabung ayam tidak dibenarkan sama sekali.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, sesiapa yang didapati mengambil bahagian dalam pelagaan haiwan atau mencapai niat bersama iaitu hadir pada suatu pelagaan boleh dihukum mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015.

“Hukuman adalah denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Shahrudin berkata, Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 dikuatkuasakan pada 1 Julai 2017 yang sepatutnya sudah menyedarkan masyarakat mengenai larangan aktiviti berkenaan.

Menurutnya, statistik 2017 hingga hari ini menunjukkan terdapat 25 kes individu terbabit dalam kegiatan menyabung ayam di daerah ini yang menunjukkan aktiviti itu masih aktif.

Katanya, daripada jumlah itu, 11 orang sudah dituduh dan dirujuk di bawah Enakmen Kebajikan Haiwan 2015.

“Bagi 2018, empat tangkapan mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, dua daripadanya didapati terbabit dalam elemen judi,” katanya.

Shahrudin menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang dengan sengaja membabitkan diri dengan aktiviti haram itu. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *