Budak cedera dibaham ‘dingo’

Budak enam tahun dikerjakan ke hospital. – FOTO/Agensi

SYDNEY: Seorang budak lelaki cedera di bahagian kaki selepas digigit seekor anjing liar dikenali sebagai ‘dingo’ ketika sedang bercuti bersama keluarganya di pulau pelancongan popular, timur Australia.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu yang kini berada dalam keadaan stabil diserang sekumpulan haiwan berkenaan ketika berada di Pulau Fraser, pinggir Queensland.

“Keluarga terbabit baru selesai berenang apabila mangsa memutuskan untuk berlumba ke arah gumuk pasir. Malangnya apabila tiba di atas, terdapat empat ekor ‘dingo’ di kawasan itu dan seekor daripada haiwan berkenaan menyerang serta menggigit kaki mangsa,” kata jurucakap pasukan penyelamat RACQ LightFliight, Dan Leggat dalam satu kenyataan.

Mangsa yang dikenali sebagai Michael Schipanski diberi rawatan awal oleh paramedik sebelum diterbangkan ke hospital berhampiran.

Menurut bapa mangsa, Mark Schipanski, Michael berlari ke gumuk pasir itu bersama ibunya apabila terserempak sekumpulan ‘dingo’.

“Saya terdengar jeritan kesakitan dan apabila menoleh, saya melihat dia diseret haiwan berkenaan. Ia sangat menakutkan serta di luar kawalan kami.

“Michael mengalami beberapa luka yang agak dalam dan kesan gigitan pada kedua belah kaki. Seekor dingo menggigit kakinya dan cuba menyeret dia ke bawah,” kata Mark.

Pulau Fraser iaitu pulau pasir terbesar dunia amat popular di kalangan pelancong kerana kecantikan pantai namun ia juga adalah habitat utama ‘dingo’ di negara itu.

Haiwan berkenaan dikategorikan sebagai hidupan liar di Australia dan dilindungi di bawah undang-undang. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *