Tampar Najib: Saya mengaku silap bila dirasuk syaitan – Chef Wan

KUALA LUMPUR 21 Jan. – Selepas mengeluarkan kenyataan kontroversi mahu menampar muka bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, tukang masak terkenal Chef Wan tampil pagi ini memohon maaf.

Menerusi laman Instagramnya, Chef Wan mengakui kesilapanya yang membuat kenyataan dalam keadaan amat marah.

“To DS Najib pagi ini saya memohon maaf secara terbuka kerana bahasa yang kasar saya telah guna kan di waktu saya merasa amat marah!

“Tetapi jika kita buat kesalahan yang besar kita mesti telan maruah diri kita untuk mengaku kesilapan diri kita as i have done this morning. Yes saya mengaku saya silap bila di rasuk syaitan dan naik marah!,” katanya.

Menurut Chef selebriti itu, dia tidak mahu menjadi manusia yang tidak berterima kasih dengan tidak menghargai sumbangan Najib kepada negara ini.

Dan baginya, adalah adil sebagai ahli politik perlu berhadapab dengan semua kritikan secara terbuka dan rasa terhormat.

Dalam hantaran di media sosialnya itu, Chef Wan turut  meminta penyokong Najib tidak menjadi batu api berhubung kenyataan yang dikeluarkan beliau.

“Saya telah buat silap dengan apa yang saya perkatakan semalam dan sekarang saya memohon maaf kepada DS (Najib) dan itu sahaja!

“Saya akan terus memperjuangkan apa yang betul,”  tegas Chef Wan.

Memetik laporan Malaysiakini, Chef Wan berkata mahu menampar muka Najib semasa hadir berkempen untuk PH di Felda Sungai Koyan 1 di Jelai semalam.

Puncanya, Chef Wan tidak merestui langkah Felda – semasa ditadbir kerajaan BN – memberikan imbuhan kepada peneroka yang dianggapnya rasuah. Kata Chef Wan pemberian wang berkenaan tidak bermakna jika pada waktu yang lain kerajaan BN ‘merompak’ agensi terbabit sehingga bankrap.

“Macam mana kamu (Najib) boleh biarkan Felda disalah urus begitu? Come on!

“Kamu letak Isa Samad (bekas pengerusi Felda) di situ dengan tahu ada bermacam hal dia buat sebelumnya.

“Kalau dia (Isa) ada di sini I tampar muka dia,” katanya.

Tidak puas dengan kenyataan itu Chef Wan juga menyatakan dia mahu menampar Najib.

“I tampar muka Najib tu, kurang ajar!” katanya.

Kenyataan Chef Wan menyebabkan banyak pihak marah dan turut mengakibatkan Facebook Go Shop di mana beliau menjadi duta rancangan itu diserang warganet. -UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *