Vanessa Angel melacur bayar rumah, kereta

Vanessa Angel – Foto Liputan6.com

Jakarta: Dihimpit hutang keliling pinggang adalah punca utama aktres popular Indonesia, Vanessa Angel terbabit dalam aktiviti pelacuran dalam talian yang dibongkar pihak berkuasa negara itu, baru-baru ini.

Vanessa, 27, adalah antara 45 artis dan 100 model Indonesia yang ditahan kerana terbabit dalam sindiket pelacuran berkenaan yang dikendalikan dua individu.

Jurucakap polis Indonesia, Luki Hermawan berkata, status semua artis dan model berkenaan ditukar daripada saksi kepada suspek.

“Siasatan kami mendapati dua individu berkenaan tidak merekrut artis dan model untuk menjadi pelacur, tetapi artis dan model ini termasuk Vanessa menawarkan diri untuk terbabit dalam aktiviti tidak bermoral itu,” katanya yang dipetik Tribun News.

Ujarnya, artis dan model ini meminta suspek membantu mereka mencari pelanggan kerana untuk mendapatkan wang atau untuk membayar hutang.

“Vanessa selalu meminta suspek mencarikan pelanggan kerana dia mahu menyelesaikan hutang yang menjeratnya.

“Keterangan ini semua kami peroleh daripada perbualan telefon dan sumber lain antara kedua-dua mereka,” jelasnya.

Menurutnya, Vanessa terbabit dalam aktiviti pelacuran berkenaan kerana mahu membayar wang ansuran kereta dan rumahnya.

“Vanessa antara yang paling aktif meminta dicarikan pelanggan dengan alasan untuk membayar wang ansuran kereta dan rumah,” katanya.

Pelakon itu dan seorang lagi selebriti ditangkap di sebuah hotel di Surabaya pada awal bulan ini kerana dipercayai melacurkan diri dengan bayaran Rp25 juta (RM7,238) dan Rp80 juta (RM23,164). – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *