Perlu tanah bina ibu pejabat Esscom

Gambar : Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman

LAHAD DATU, 20 Jan – Kerajaan Sabah diharap dapat menyediakan sebidang tanah bagi pembinaan bangunan kekal ibu pejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Lahad Datu, memandangkan bangunan pejabat sedia ada itu kini disewa.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata selepas urusan tanah itu selesai, barulah peruntukan pembinaan disediakan kerajaan.

“Jika tanah (tapak) sudah ada, kita akan usahakan di peringkat kementerian untuk beri peruntukan secukupnya bagi mendirikan ibu pejabat kekal itu dengan segera,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Mohd Azis yang juga Anggota Parlimen Sepanggar hadir pada majlis perasmian Masjid Ar-Raudhah yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Pada majlis itu, Juhar dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni menerusi Yayasan Nur Jauhar menyumbangkan RM10,000 kepada Pengerusi Masjid Ar-Raudhah, Sari Arsad bagi kegunaan masjid.

Masjid Ar-Raudhah berharga RM4 juta di bandar Lahad Datu itu mula dibina pada 2001 dan siap sepenuhnya pada 2004, dan mampu memuatkan 3,000 jemaah.

Turut hadir, Pembantu Menteri Hal Ehwal Undang-undang Anak Negeri, Datuk Uda Sulai serta Komander Esscom DCP Datuk Hazani Ghazali.

— BERNAMA

Gambar : Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *