Ketua Hakim, Peguam Negara bolehlah letak jawatan

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Thomas perlu meletak jawatan secara sukarela atas tindakan yang dilihat tidak profesional selepas insiden mereka menari pada Majlis Makan Malam Gala Pengamal Undang-undang 2019 (OLY 2019) tersebar di media sosial.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, orang ramai sama sekali tidak mempersoalkan hak individu untuk menari tetapi apa yang dipersoalkan adalah siapa individu yang menari dalam video itu.

“Memang kita tak persoalkan hak untuk menari tapi yang kita persoalkan adalah siapa yang menari itu, kalau hak menari kita pun boleh menari, siapa-siapa pun boleh menari.

“Tapi jika yang menari itu Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjaga Undang-Undang (Datuk VK Liew) dan mereka boleh dianggap sebagai mempunyai kepentingan dan ada waktu tertentu mereka berkepentingan, misalnya Peguam Negara akan membawa kes ke mahkamah dan dia mengetuai kes, jadi ia akan menimbulkan persepsi yang tidak baik,” katanya kepada media selepas berkempen di Pasar Pagi Brinchang, Cameron Highlands hari ini.

Ismail Sabri berkata, walaupun hakim boleh membuat keputusan secara profesional, namun persepsi masyarakat selepas adegan menari itu akan menjadi sebaliknya dan memberikan gambaran buruk terhadap badan kehakiman.

Katanya, ini kerana sebagai orang yang berkepentingan mereka perlu menghindari persepsi yang buruk daripada masyarakat.

Katanya, kerajaan BN sendiri tumbang disebabkan oleh persepsi buruk yang selalu dimainkan dan digembar-gemburkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, jadi perkara yang membabitkan persepsi terhadap kerajaan tidak seharusnya berlaku.

“Nanti orang akan nampak dan kata, ehh kalau macam ni kita bolehlah `kawtim’, itu pandangan daripada orang ramai. Kalau bawa kes ke mahkamah mungkin mudahlah nak menang atau ikut apa yang Peguam Negara nak, itu hanya anggapan dan persepsi walaupun perkara sebenarnya tidak mungkin berlaku, tetapi kena ingat negara pun boleh tumbang disebabkan persepsi dan kerajaan BN dahulu pun tumbang disebabkan persepsi,” katanya.

Beliau berkata, sebab itulah apa yang berlaku membabitkan Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga undang-undang adalah sesuatu yang sangat tidak wajar lebih-lebih lagi kerana ia membabitkan etika kehakiman.

Justeru katanya, pihak yang berkenaan perlu memohon maaf kepada rakyat dan memastikan insiden sedemikian tidak lagi berulang.

“Kalau dulu kita nak jumpa hakim pun punyalah susah, apatah lagi untuk keluar minum kopi dengan hakim kerana satu ketika dulu hakim dilihat sebagai sangat eksklusif kerana hakim tidak mahu dilihat sebagai mempunyai hubungan di luar yang mungkin akan mempengaruhi keputusan.

“Hakim bukan malaikat, hakim adalah manusia yang kadang-kadang boleh dipengaruhi oleh persekitaran, persahabatan, hubungan baik dan sebagainya,” katanya.

Sebuah video yang memaparkan Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berjoget ‘twist’ dalam satu majlis tersebar di media sosial semalam yang turut membabitkan aktivis antaranya S Ambiga dan Siti Zabedah Kassim menimbulkan kebimbangan netizen berkaitan ketelusan sistem kehakiman. – Harian Metro

Artikel Asal : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/01/414071/ketua-hakim-peguam-negara-bolehlah-letak-jawatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *