Isteri naik angin anak dinamakan Muhammad Bossku, suami kata, “Nak malu apa isteriku?”

Dean dikatakan menamakan nama Muhammad Bossku untuk anaknya yang baru lahir pada 12 Januari lalu. Foto Dean Ahmad

Di sana ‘bossku’ di situ ‘bossku’, di mana-mana sahaja orang ramai terutama netizen menyebut perkataan tersebut apabila ia menjadi trend di lama sosial.

Difahamkan, perkataan ‘bossku’ merupakan slanga yang digunakan anak-anak muda, termasuk golongan bermotosikal dan penggunaanya didakwa berasal dari Sabah.

Malah, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga meraih perhatian apabila menyebut ‘malu apa bossku’ sehingga menjadi ikutan di laman sosial.

Sijil kelahiran dengan nama Muhammad Bossku menjadi tanda tanya.

Namun, netizen dikejutkan juga dengan gambar sijil kelahiran yang didaftarkan menggunakan nama ‘Muhammad Bossku’ sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi.

“Wife (isteri) aku mara letak nama ni… apa masalahnya?”, menurut keterangan gambar yang dimuat naik Dean Ahmad di Facebook sehingga tular, malah mengundang kecaman netizen menganggap ia mempersendakan nama seorang anak, selain ramai yang meneka gambar tersebut hanya disunting.

Hanya mahu dikenali Dean Ahmad, dia mendedahkan bahawa gambar tersebut dimuat naik di laman sosial selepas memperoleh sijil kelahiran buat anak lelakinya yang baru lahir pada 12 Januari lalu.

Anak kedua Dean yang dilahirkan pada 12 Januari 2019

Jelasnya, beberapa hari selepas kelahiran anaknya itu, dia telah mencadangkan nama Muhammad Bossku kepada isterinya untuk cahaya mata kedua mereka.

“Masa kelahiran anak pertama dulu, saya seorang yang mencadangkan nama dan terus daftar kelahiran. Bila saya cadang nama (Muhammad) Bossku untuk anak kedua ini, isteri naik angin.

“Isteri marah sebab dia cukup tak berkenan dengan nama itu sebab sekarang ramai orang mula permainkan panggilan tu. Jadi, dia malu. Nak malu apa isteriku? Kan nama tu sedap dipanggil dan saya dah mula panggil anak dengan nama Bossku… Bossku, “katanya ketika dihubungi mStar Online, malam Sabtu.

Namun anak kelahiran Temerloh, Pahang ini merupakan seorang yang suka berjenaka dan gambaran itu dapat dilihat menerusi gambar dan video yang dikongsikannya di laman sosial.

Dean Ahmad dikenali sebagai seorang yang suka bergurau dan berjenaka

Dean yang menjadi social media influencer sejak hampir sedekad lalu mengakui bahawa gambar sijil kelahiran itu sebenarnya telah disunting pada bahagian nama anaknya sejurus selepas mendapatkan dokumen tersebut dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada Jumaat lalu (18 Januari).

“Isteri tahu saya ni suka bergurau dan berjenaka. Bila saya beritahu nak letak nama Bossku, isteri antara percata atau tidak percaya.

“Lepas dapat sijil kelahiran anak di JPN, saya apa lagi cepat-cepat edit bahagian nama dan hantar gambar kat isteri menerusi WhatsApp. Dia bising suruh cepat balik. Sampai kat rumah, isteri hanya tahu ia betul-betul sekadar ‘prank’ (gurauan) bila keluarkan sijil tu daripada sampul,” katanya secara berseloroh.

Dean menjelaskan bawaha nama anak keduanya itu sebenarnya adalah Umar Al-Faqeh yang dilahirkan pada awal pagi 12 Januari lalu, dan ia jatu pada hari ulang tahun kelahirannya.

Nama sebenar anak kedua Dean yang didaftarkan di JPN.

Menganggap kelahiran anaknya itu sebagai hadiah hari ulang tahun untuk dirinya dan juga isteri (10 Januari), dia menolak dakwaan netizen bahawa nama Muhammad Bossku sebagai tidak sensitif dan mempersendakan anak yang merupakan anugerah tuhan.

“Muhammad itu dalam bahasa Arab maksudnya yang terpuji dan Boss itu bermakna seseorang dalam kedudukan tertinggi dan disegani, jadi apa yang tidak baiknya?

“Nama anak saya yang sebenar adalah Umar Al-Faqeh. Tapi kalau selepas ni ada kawan-kawan yang nak panggil anak Bossku, saya tak boleh halang. Mudah-mudahan dia jadi bos suatu hari nanti,” kata Dean yang mempunyai anak sulung lelaki berusia empat tahun.

Sumber : mStar Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *