Sabah tumpu usaha tambah baik bekalan air luar bandar

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited untuk membangun dan menyalurkan bekalan air mencukupi menerusi satu pelan menyeluruh.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata tahun ini, kerajaan negeri akan menumpukan usaha menambah baik kualiti, liputan dan bekalan air bersih di kawasan luar bandar.

“Kita harap dengan meningkatkan kapasiti bekalan air dan menyediakan kemudahan khususnya di kampung terpencil seluruh negeri, rakyat Sabah dapat menikmati bekalan air bersih yang dapat memudahkan rutin harian mereka.

“Saya sentiasa sedar bahawa bekalan air masih menjadi isu di beberapa kawasan tetapi kita beri jaminan sejajar usaha mencapai pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial yang lebih baik, kita akan percepatkan usaha menyediakan kemudahan asas kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew pada pelancaran program `Bringing Water to Communities in Sabah’ anjuran Heneikan Malaysia dan cawangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu, Yayasan SPARK, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Undang-Undang dan Hal Ehwal Korporat Heneikan Malaysia, Renuka Indrarajah; Pengarah Urusan Heneikan Malaysia, Roland Bala; Presiden Soroptimist International Region of Malaysia (SIROM), Dr Saradha Narayanan dan Pengurus Program Kupi-Kupi FM, Lester Calvin Miol.

Heneikan dan Yayasan SPARK dengan kerjasama radio tempatan Kupi-Kupi FM, baru-baru ini, membina sistem air graviti di Kampung Gana, Kota Marudu, selain sistem penuaian air hujan di Kampung Minawo Seberang, Keningau dan Kampung Sinopukan, Kota Belud.

Pada 2017, syarikat itu juga berjaya memasang sistem penuaian air hujan di dua kampung di Penampang iaitu di Kampung Koidupan dan Nagashiba serta Kampung Pinawantai di Kudat.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas majlis itu, Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, berharap organisasi itu dapat mengembangkan projek seperti itu di kawasan luar bandar, khususnya di pantai timur.

“Sebagai Ahli Parlimen Tawau, saya tahu masih ada tempat di kawasan saya yang memerlukan bekalan air bersih. Mungkin Heneiken Malaysia boleh mengkaji sama ada ia boleh melaksanakan projek sama di pantai timur, ” katanya.

Sementara itu, Renuka berkata, Heneikan Malaysia membelanjakan kira-kira RM200,000 untuk enam projek selain melaksanakan penyelenggaraan selama lima tahun.

“Setakat ini, lima sistem penuaian air hujan dan sistem air graviti itu mampu membekalkan kira-kira 2.8 juta liter air kepada lebih 5,000 penduduk di enam kampung,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *