Sabah pandang serius isu peribumi belum terima kewarganegaraan

KOTA KINABALU, 18 Jan – Kerajaan negeri Sabah memandang serius mengenai masalah penduduk peribumi Sabah tinggal di kawasan pendalaman yang masih belum menerima kewarganegaraan.

Ketua Menteri Sabah Seri Mohd Shafie Apdal berkata terdapat keperluan menimbang semula pelaksanaan undang-undang adat dan struktur mahkamah anak negeri termasuk penggunaan sepenuhnya badan berkaitan undang-undang adat.

Katanya selain itu, kerajaan juga akan mempertimbangkan, selepas mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan untuk menukar penggunaan perkataan “asli” kepada “peribumi” bagi mematuhi deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai hak peribumi (Undrip).

“Apabila kita membuat keputusan untuk melakukan sesuatu, akan ada orang yang bersetuju dan akan ada yang menentang perubahan itu,” katanya pada Makan Malam Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak di sini malam ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong, Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara Tommy Thomas.

Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri Sabah amat menghargai pelaksanaan mahkamah bergerak yang sehingga kini telah menyelesaikan tidak kurang daripada 80,000 kes kanak-kanak tanpa dokumen.

“Saya yakin tidak ada kumpulan etnik di Sabah yang terkecuali dalam isu tidak mendaftarkan dokumen mereka pada waktu yang sepatutnya.

“Sama seperti terdapat ribuan etnik Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus, atau dalam isu ini, penduduk Lundayeh yang tinggal di Long Pasia, terdapat juga ramai kanak-kanak di pantai timur, yang ibu bapa mereka gagal untuk mendaftarkan anak mereka semasa lahir,” katanya.

Shafie berkata perkara ini perlu ditangani untuk mengelakkan masalah ketika mereka hendak mendaftar untuk belajar di masa hadapan.

Sementara itu, mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Mohd Shafie berkata banyak perkara yang perlu dilakukan bagi memastikan apa yang sepatutnya diberikan kepada Sabah, akan mereka terima.

“Di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kami telah mengadakan pertemuan akhir tahun lepas untuk membincangkan hak-hak Sabah dan Sarawak.

“Sebahagian daripada apa yang sepatutnya kita terima telah dipersetujui, tetapi kita perlukan asas yang kukuh untuk membawa kes kita secara keseluruhannya,” kata Mohd Shafie.

Katanya, telah ada beberapa wakil dari Sabah dalam Jawatankuasa MA63 yang ditubuhkan Kerajaan Persekutuan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *