Kerajaan Sabah digesa libatkan pertubuhan sosial mengenai Tanjung Aru

KOTA KINABALU, 19 Jan –  Kerajaan Sabah digesa melibatkan lebih banyak pertubuhan masyarakat sivil berhubung Projek Pembangunan Eko Tanjung Aru (TAED).

Menyambut baik hasrat kerajaan untuk mengadakan kajian lebih menyeluruh, Ketua Fasilitator Eksekutif  Land Empowerment Animals People (LEAP) Cynthia Ong berkata persatuan itu bersedia menganjurkan lebih banyak forum awam untuk mendapatkan pandangan lebih luas pihak berkepentingan.

“Kami menyambut baik kajian lebih menyeluruh itu dan bersedia untuk bersama-sama di meja perundingan serta berkongsi hasil forum awam yang kami adakan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ong berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri  Datuk Christina Liew  yang menafikan membuat pusingan-U berhubung projek tersebut dan berkata kerajaan masih meneliti projek itu dan sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan terdahulu akan disemak semula.

Sebelum Pilihan Raya Umum pada Mei 2018, pihak pembangkang pada masa itu berkata ia akan membatalkan projek  berkenaan sekiranya memerintah Sabah namun sehingga kini tiada sebarang pengumuman dibuat mengenai TAED.

Mengulas lanjut, Ong berkata sebarang projek pembangunan semula di pantai berkenaan mesti dilaksanakan secara berhati-hati dan mengambil kira penglibatan masyarakat.

“Pembangunan yang dirancang di kawasan pantai awam ini akan menjejaskan seluruh masyarakat dari segi ekonomi, kebudayaan dan persekitaran. Ia berpotensi memburukkan lagi jurang sosioekonomi rakyat Sabah selain menjejaskan ekosistem yang sudah sedia terdedah.

“Projek pembangunan mesti mengelakkan sebarang usaha penambakan dan pengorekan tanah berskala besar seperti yang diusulkan dalam pelan asal bagi meluaskan saiz pantai jauh ke laut, membina terusan dan membangunkan semula kawasan sekitar,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *