8 kontraktor dibebaskan, 2 disambung reman kes palsukan dokumen

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret, di sini hari ini, membebaskan lapan pengurus syarikat kontraktor yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan kes pemalsuan dokumen.

Majistret Stephanie Sherron Abbie, menetapkan jaminan RM8,000 untuk pembebasan semua individu terbabit.

Sementara itu, Stephanie membenarkan permintaan SPRM untuk menyambung tahanan reman dua kontraktor lain selama empat hari lagi bagi membantu siasatan agensi itu.

10 individu itu adalah antara 13 pengurus syarikat kontraktor, termasuk tiga wanita yang ditahan dan direman SPRM pada 15 Januari lalu.

Mereka disyaki mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender projek daripada Jabatan Pendidikan Sabah.

Syarikat terbabit adalah dari sekitar Kota Kinabalu, Ranau, Kota Belud, Kuala Penyu dan Beaufort.

Suspek yang berumur antara 30 tahun hingga 60 tahun itu didakwa mendapat tender bernilai jutaan ringgit sejak 2016 dengan menggunakan dokumen palsu.

Tiga suspek wanita sudah dibebaskan dua hari lalu dengan jaminan sebanyak RM5,000 dan dua penjamin tempatan.

Permohonan reman terhadap semua individu terbabit dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basiruddin. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *