Saman: Ketua Hakim Negara akan fail afidavit balasan

KOTA KINABALU, 18 Jan – Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum akan memfailkan afidavit balasan terhadap saman pemula oleh anak perempuan mendiang Karpal Singh berhubung dakwaan campur tangan terbuka Badan Kehakiman dalam keputusan kes Akta Hasutan peguam itu (Karpal) dan kes penukaran agama tiga kanak-kanak beragama Hindu.

Malanjum berkata pihaknya akan memenuhi perintah Mahkamah Tinggi untuk memfailkan afidavit balasan tersebut.

“Sudah tentu, kami perlu memfailkan afidavit berkenaan… itu perintah (daripada Mahkamah Tinggi),” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2019 di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Ditanya bila afidavit balasan itu akan difailkan, Malanjum berkata: “ Saya rasa dalam tempoh tiga atau lima minggu, ia akan dikendalikan Jabatan Peguam Negara.”

Semalam, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur meminta Ketua Hakim Negara memfailkan afidavit balasan terhadap saman pemula oleh anak perempuan mendiang Karpal Singh iaitu Sangeet Kaur Deo berhubung kes berkenaan.

Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril membuat perintah itu semasa sebutan kali pertama kes berkenaan.

Mahkamah memerintahkan Ketua Hakim Negara selaku defendan supaya memfailkan afidavit balasan sebelum atau pada 11 Feb.

Pada 14 Jan lepas, Sangeet yang juga peguam, memfailkan saman itu bagi memohon perintah deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara gagal dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman Malaysia untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan badan kehakiman apabila gagal menyempurnakan siasatan dalaman berhubung keputusan rayuan membabitkan kes hasutan mendiang Karpal dan juga kes guru tadika M. Indira Ghandi.

Sangeet mendakwa isu itu timbul apabila peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan rayuan dalam kes Akta  Hasutan mendiang Karpal telah diubah akibat campur tangan kehakiman oleh seorang hakim kanan dan perkara itu dilaporkan oleh portal atas talian, Free Malaysia Today pada 22 Ogos 2018.

Peguam itu turut mendakwa terdapat campur tangan kehakiman dalam kes Indira Ghandi dan perkara tersebut diumumkan secara terbuka oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dalam ucapan beliau di Persidangan Undang-Undang Antarabangsa pada 16 Ogos 2018.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong yang ditemui pemberita selepas majlis itu berkata, Badan Kehakiman Negara telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut dan menjelaskan segala dakwaan yang timbul.

Liew juga berkata tidak ada keperluan untuk mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi kes berkenaan.

Terdahulu, Malanjum mengetuai perarakan Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2019 diiringi Liew dan disertai 177 pengamal perundangan dari kedua-dua negeri itu pagi tadi.

Perarakan sejauh 1.66 kilometer bermula dari Kompleks Karamunsing ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu itu turut disertai Peguam Negara Tommy Thomas.

Acara itu diteruskan dengan majlis penyampaian ucapan pembukaan termasuk daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah; Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Zaleha Rose Pandin; dan Peguam Besar Negeri Sarawak Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid yang antara lain mengutarakan isu Perjanjian Malaysia 1963 serta beberapa pindaan undang-undang.

Sabah menganjurkan program itu sejak 18 tahun lepas sebelum disertai Sarawak pada 2009, sekali gus menjadi platform bagi pengamal perundangan berkumpul dan menyusun matlamat baharu selain berkongsi aspirasi dan pencapaian positif yang boleh dijadikan petunjuk prestasi pada masa depan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *