Ketua Hakim Negara ketuai perarakan pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2019

Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum (dua, kanan) mengetuai perarakan sempena pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2019 hari ini. – Foto Bernama

KOTA KINABALU: Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum mengetuai perarakan sempena pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2019, di sini, pagi ini.

Perarakan sejauh kira-kira satu kilometer itu bermula dari Kompleks Karamunsing, di sini, ke bangunan baharu Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu berdekatan Persimpangan Bertingkat Jalan Kolam-Bukit Nenas.

Seramai 177 orang terdiri daripada hakim, pegawai dan pengamal undang-undang menyertai perarakan tahunan itu.

Yang turut menyertai perarakan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Wong Dak Wah.

Hadir sama ialah Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Poon Ming Fung; Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Jannie Lasimbang; Peguam Negara, Tommy Thomas dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman.

Selepas perarakan, majlis diteruskan dengan perhimpunan sempena pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2019 yang berlangsung di dewan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *