Jalan Telupid-Sandakan Akan Diperbaiki Sebelum Tahun Baru Cina

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) disarankan untuk mengambil alih dan memperbaiki keadaan Telupid-Sandakan yang berlubang teruk buat sementara waktu.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata ia disebabkan kemungkinan peruntukan yang akan disalurkan untuk pembaikan jalan ini akan mengambil sedikit masa.

Menteri Pembangunan Infrastruktur , Datuk Peter Anthony. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kita di peringkat kementerian mengambil maklum masalah ini dan sebenarnya jalan tersebut di bawah seliaan syarikat Lintasan Resources Sdn Bhd iaitu syarikat yang dilantik dari Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, disebabkan kemungkinan penyaluran itu mengambil masa sedikit, jadi Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah menyarankan supaya pihak JKR memperbaiki keadaan jalan buat sementara yang terlalu berbahaya.

“Oleh itu, saya telah arahkan pengarah JKR untuk menutup kesemua lubang-lubang sepanjang laluan Telupid-Sandakan ataupun memperbaiki kedudukan jalan raya tersebut supaya dapat digunakan sebelum perayaan Tahun Baru Cina ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baru 2019 dan Sambutan Hari Krismas KPI bersama Jabatan serta Agensi di sini pada Jumaat.

Arahan pembaikan sementara itu adalah disebabkan jalan tersebut disenaraikan di bawah pelan perancangan pembinaan Projek Mega Lebuh Raya Pan Borneo fasa kedua yang ditangguhkan ke Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Tambahnya pembaikan jalan itu juga bukan sahaja tertumpu kepada laluan utama Telupid-Sandakan sepanjang lebih 100 kilometer, tetapi sepanjang jalan menghubungkan antara Kota Kinabalu-Ranau-Telupid turut diambil perhatian dalam kadar segera.

Jelasnya juga untuk laluan-laluan luar bandar atau pedalaman dan seluruh negeri, kerajaan sedang melantik kontraktor-kontraktor baru untuk menyelenggara semua jalan-jalan tersebut yang sebelum ini diselenggara oleh syarikat-syarikat yang telah diberikan kontrak.

“Dan seperti yang kita maklum, beberapa kontraktor yang sebelum ini menyelenggara jalan-jalan tersebut mempunyai reputasi yang tidak baik.

“Jadi kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan mereka dan akan menggantikan kepada syarikat yang baru yang berkualiti serta lebih baik dalam menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan tersebut.

“Buat masa ini, kita telah menamatkan satu konsesi syarikat penyelenggaraan jalan raya iaitu syarikat Globinaco,” jelasnya.

Sumber : SabahNewsToday
Artikel Asal : https://www.sabahnewstoday.com/jalan-telupid-sandakan-akan-diperbaiki-sebelum-tahun-baru-cina/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *