117 Pelajar SMK Desa Kencana belajar di kantin

LAHAD DATU, 18 Jan – Empat kelas dengan 117 pelajar tingkatan satu hingga empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana di Wilayah Felda Sahabat dekat sini terpaksa belajar di kantin sekolah selepas satu blok bangunan yang menempatkan kelas pelajar terbabit berhadapan dengan masalah cerun tanah runtuh.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut, Datu Ibrahim Datu Abdul Karim berkata bimbang dengan keselamatan pelajar serta guru yang mengajar, blok bangunan itu dikosongkan sejak sesi persekolahan bermula awal tahun ini.

“Difahamkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Lahad Datu telah membuat pemeriksaan awalan Selasa lepas dan mendapati cerun di belakang bangunan sekolah runtuh.

“Pihak JKR juga turut meminta bangunan yang berdekatan bahagian cerun yang runtuh itu untuk dikosongkan dan ditutup terus kepada warga sekolah sehingga kerja-kerja pembaikan cerun siap dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Masalah cerun runtuh itu dipercayai berlaku selepas hujan berterusan sejak awal tahun itu, turut menjejaskan pembelajaran 17 murid pendidikan khas apabila blok bangunan itu juga menempatkan kelas mereka serta bilik guru Etika Rumah Tangga (ERT).

Sehubungan itu, Datu Ibrahim meminta agar pihak berwajib dapat mengatasi masalah tersebut dengan kadar segera supaya pelajar yang terjejas dapat meneruskan sesi pembelajaran di bilik darjah yang selesa.

“Setakat ini pengurusan Felda Wilayah Sahabat telah mengambil langkah awal menyediakan sejumlah peruntukan kilat bagi melakukan kerja-kerja membaik pulih kawasan yang terjejas.

“Jadi kita berharap perlaksanaan baik pulih ini berjalan dengan lancar dan cepat,” katanya lagi.

Tinjauan Bernama mendapati parit di bahagian belakang bangunan turut ‘ternaik’ sehingga 1.5meter daripada kedudukan asal.

Sekolah dua sesi ini menempatkan 1,700 pelajar tingkatan satu hingga lima dengan 124 guru dan terdapat 29 bilik darjah melibatkan 59 sesi kelas.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *