Wanita maut dibaham buaya peliharaan

Buaya gergasi itu diberi suntikan pelali sebelum dikeluarkan dari habitatnya. – FOTO AFP

MINAHASA (INDONESIA) : Seorang wanita maut dibaham seekor buaya peliharaan di kepulauan Sulawesi, kata pihak berkuasa hari ini.

Menurut pihak berkuasa, Deasy Tuwo, ketua makmal ladang mutiara di Minahasa di Utara Sulawesi, dibaham buaya berukuran 4.4 meter itu Khamis lalu.

Mayat wanita berusia 44 tahun itu yang hampir tidak dikenali ditemui rakan sekerjanya keesokan pagi, kata pegawai agensi perlindungan tempatan, Hendrik Rundengan,

“Petunjuk yang kami dapati ialah mangsa terjatuh ke dalam habitat buaya itu,” katanya sambil menambah, insiden berkenaan masih dalam siasatan polis.

Rundengan berkata, reptilia terbabit yang diberi nama Merry menelan sebelah tangan mangsa manakala hampir keseluruhan abdomen didapati masih hilang.

“Kemungkinan besar bahagian itu berada di dalam perut haiwan berkenaan,” katanya.

Buaya gergasi itu diberi suntikan pelali sebelum dikeluarkan dari habitatnya Isnin lalu dalam operasi selama tiga jam yang membabitkan puluhan pekerja termasuk pegawai perlindungan, tentera dan polis.

Rundengan memberitahu, haiwan berkenaan dimiliki secara haram dan akan dipindahkan ke kawasan perlindungan.

Gugusan Indonesia habitat untuk pelbagai jenis hidupan liar termasuk beberapa spesies buaya yang sering menyerang dan membunuh manusia.

Pada April 2016, eorang pelancong Russia maut diserang reptilia itu dii kepulauan Raja Ampat yang juga antara lokasi menyelam popular negara berkenaan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *