Suami curang, bercerai punca terbabit dadah

Kamalia menceritakan pengalamannya ketika ditemui di pejabat AADK, Sabah. – NSTP/Khairull Azry Bidin

KOTA KINABALU: Kecewa dengan perceraian pada usia muda mendorong seorang ibu muda berusia 21 tahun dari Manggatal, di sini, terjebak dalam penagihan dadah jenis syabu.

Kamalia, 21, (bukan nama sebenar) ketika ditemui BH, mengakui terbabit dengan syabu pada usia 19 tahun, selepas bercerai.

“Perkahwinan saya hanya mampu bertahan lebih setahun sahaja. Suami curang dan saya tidak dapat menerima kenyataan itu (perceraian). Anak kami pun masih kecil pada masa itu.

“Saya amat tertekan, murung dan sedih. Saya tidak menduga suami curang (ada perempuan lain) sebab usia perkahwinan kami masih baharu pada masa itu,” katanya yang mempunyai seorang anak perempuan berusia lebih setahun.

Menceritakan awal pembabitannya dalam penagihan syabu, Kamalia yang baharu selesai menjalani pemulihan selama 13 bulan di Kelantan, berkata selepas bercerai dia bekerja di sebuah pasar raya di Kota Kinabalu dan tinggal menyewa bersama beberapa rakan.

“Selepas habis bekerja, saya selalu menangis dan termenung, malah perasaan masa itu amat tertekan, sehinggalah seorang rakan ‘mengajar’ cara untuk menghilangkan tekanan dengan mencuba syabu. Kawan cakap benda itu (syabu) boleh hilangkan rasa sedih dan tekanan.

“Masa itu, saya hanya fikirkan diri sendiri termasuk bagaimana mahu hilangkan tekanan dan selepas mencubanya saya rasa happy (gembira). Seolah-olah semua masalah dan tekanan hilang walaupun sebenarnya hanya untuk seketika.

“Keluarga tidak tahu saya terjebak dengan gejala ini sebab saya hanya mengambilnya (syabu) ketika di bilik sewa. Saya mendapat bekalan daripada kawan dan membelanjakan dalam RM50 seminggu,” katanya.

Bagaimanapun, Kamalia berkata, kegiatannya itu dapat dihidu oleh ahli keluarganya selepas menemui serbuk syabu di biliknya di rumah.

“Ibu saya amat sedih dan kecewa lebih-lebih lagi saya anak perempuan tunggal daripada tiga beradik.

“Ibu bapa kemudian melaporkan perkara ini kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebelum saya dihantar ke Pusat Pemulihan Wanita di Bachok, Kelantan, selama setahun pada September 2017.

“Kehidupan di sana amat berbeza dan saya pada mulanya tidak dapat menerima kenyataan kerana rindu dengan anak dan keluarga. Hanya selepas tiga bulan baru dapat menyesuaikan diri dan belajar banyak perkara baharu, selain mendekati agama,” katanya yang bersekolah  – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *