Restoran jual ayam goreng berulat ditutup

Ayam goreng berulat yang tular di media sosial. – gambar media sosial

PAPAR : Jabatan Kesihatan Kawasan Papar dan Kota Kinabalu mengesahkan mengeluarkan arahan penutupan sementara terhadap dua cawangan restoran mamak kerana masalah kebersihan.

Jurucakap Pejabat Kesihatan Kawasan Papar berkata, pihaknya menerima video yang tular menunjukkan ayam goreng berulat dipercayai berlaku di sebuah restoran di Kinarut.

“Kita terima video yang tular dan pergi ke restoran itu semalam untuk menyiasat kerana kita tidak boleh ambil tindakan berdasarkan video itu saja.

“Selepas pemeriksaan, kita dapati banyak perkara tidak mengikut prosedur dan memang ada masalah kebersihan. Jadi kami mengarahkan restoran ini ditutup sementara waktu untuk kerja pembersihan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, restoran itu hanya boleh dibuka semula sekiranya mendapat kelulusan Pegawai Kesihatan Kawasan Papar.

“Kita beri tempoh 14 hari untuk pembersihan dan terpulang kepada pemilik untuk pemeriksaan semula sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Julaidah Sharip berkata, susulan video tular itu, siasatan segera dilakukan terhadap cawangan restoran berkenaan di Kota Kinabalu.

“Siasatan mendapati premis gagal mengekalkan kebersihan dan diarahkan tutup bagi proses pembersihan dan penambahbaikan. Premis itu akan dibuka semula selepas ia dibersihkan dan semua teguran diambil tindakan,” katanya sambil menambah penutupan premis dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Dalam video berdurasi 53 saat yang tular di laman sosial, menunjukkan ayam goreng berulat dan perakam video turut menunjukkan suasana restoran berkenaan.- Berita Harian

Gambar Media Sosial
Gambar Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *