Kontraktor direman 7 hari berhubung kes pemalsuan dokumen

Seorang kontraktor (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret di Sandakan bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan berhubung kes mendapatkan tender Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. – NSTP/Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Seorang kontraktor berusia 28 tahun ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan pemalsuan dokumen dan mengemukakan penyata bank palsu bagi mendapatkan tender Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).

Lelaki terbabit ditahan Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan dokumen penyata bank untuk mendapatkan tender membekal makanan bermasak bernilai RM2.26 juta.

Dia ditahan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan dokumen palsu untuk mendapatkan tender.

Perintah reman dikeluarkan oleh Pendaftar, Rosmaini Osman di Mahkamah Majistret Sandakan hari ini, manakala prosiding bagi mendapatkan perintah reman dikendalikan Penolong Kanan Penguasa SPRM Sandakan, Suhaimi Abd Manaf.

Dia antara 25 individu membabitkan pemilik dan pengurus syarikat di negeri ini yang ditahan SPRM Sabah bagi membantu siasatan berkaitan mengemukakan penyata bank palsu bagi mendapatkan JPNS antara tahun 2016 hingga 2018.

Isnin lalu, SPRM menahan 13 pengurus syarikat kontraktor termasuk tiga wanita di Kota Kinabalu berkaitan pemalsuan dokumen bagi mendapatkan tender di JPNS.

Mereka yang berusia 30-an hingga 60-an itu ditahan di beberapa lokasi di Kota Kinabalu yang mana setiap syarikat dipercayai memperoleh tender bernilai ratusan ribu hingga jutaan ringgit, termasuk sebuah syarikat menerima tender RM10 juta. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *