Besarkan 10 anak, Rosmary mencari rezeki menjual ikan pelian di Tamu Tenom

FOTO BERNAMA

Oleh Mohamad Khairy Abdullah

TENOM, 17 Jan – Menjual ikan kelah atau lebih dikenali sebagai ikan pelian di Sabah menjadi punca pendapatan kepada seorang ibu untuk membantu suaminya membesarkan anak mereka seramai 10 orang.

Rosmary Linso, 48, antara penjual ikan pelian di Tamu Tenom yang diperoleh dengan menjala di Sungai Kampung Muaya Sipitang bersama suaminya Palimun Antaim, 46.

Ketika ditemui Bernama di Tamu Tenom baru-baru ini, Rosmary yang berasal dari Kampung Muaya Sipitang berkata, kehadirannya sebagai penjual ikan pelian di Tamu Minggu Tenom bukan semata-mata terdorong dengan harga yang mahal itu, namun jelasnya ia lebih menjurus kepada mencari nafkah untuk keluarga terutama untuk membesarkan 10 anak mereka. 

“Sebagai penduduk luar bandar bukan mudah untuk membesarkan 10 orang anak, kita kena kreatif untuk menggunakan segala tenaga dan kebolehan yang ada,” katanya.

Menurut Rosmary, dia bersama suami bersengkang mata selama 24 jam di Sungai Muaya, Sipitang untuk menjala ikan itu sebelum memasarkan ikan itu di Tamu Minggu Tenom yang terletak kira-kira sejam perjalanan dari kampungnya.

Rosmary berkata jika rezeki menyebelahi mereka hasil tangkapan boleh mencecah sehingga 60 kilogram dan mampu memberi pendapatan lumayan kerana dijual dengan harga RM60 hingga RM120 sekilogram.

Katanya pendapatan mampu diraih sehingga RM500 setiap kali berdagang ikan itu di Tamu Tenom pada setiap Rabu dan Ahad.

Selain menjual ikan pelian, Rosmary turut menjual ikan-ikan sungai yang lain seperti Belais dan Keli sungai tetapi harganya tidak semahal ikan pelian di samping permintaan terhadap ikan itu terlalu rendah.

“Jika tidak ke tamu, kami melakukan kerja-kerja lain seperti menorah getah. Kami perlu kreatif untuk mencari wang tambahan demi membesarkan anak-anak,” katanya.

Dalam pada itu, Rosmary berkata akitiviti menangkap ikan pelian secara tidak terkawal oleh penduduk kampung di Sungai Muaya menyebabkan kuantiti ikan itu semakin kurang yang turut menjejaskan hasil tangkapan dan pendapatan mereka.

“Jika tidak ada ikan pelian, ertinya kami tidak dapat ke pasar minggu,” jelasnya dan menambah dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini bilangan spesies ikan pelian di Sungai Muaya semakin berkurangan.

Justeru, beliau berharap Sungai Muaya dapat diwartakan sebagai kawasan Tagal bagi memulihara spesies ikan pelian di sungai itu supaya tidak berkurangan.

Rosmary yang berketurunan etnik Murut itu turut mencadangkan kepada kerajaan supaya mewujudkan program keusahawanan kepada penduduk luar bandar seperti beliau.

“Kami sangat mengharapkan sesuatu aktiviti yang boleh meningkatkan sosioekonomi penduduk supaya tidak terlalu bergantung sepenuhnya terhadap sumber sungai untuk mencari nafkah.

“Aktiviti berniaga dapat memberikan pendapatan bulanan dan menjamin masa depan kami,” kata Rosmary.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *