3 budak maut dalam peti sejuk

Tiga kanak-kanak maut terperangkap dalam peti sejuk. – FOTO/Agensi

Tallahassee (Amerika Syarikat): Tiga kanak-kanak ditemui mati dalam keadaan menyedihkan selepas terperangkap di dalam sebuah peti sejuk beku di luar rumah mereka.

Tiga kanak-kanak itu berusia satu, empat dan enam tahun itu bermain di luar rumah mereka di Live Oak, Florida sebelum memanjat peti sejuk beku berkenaan yang tidak digunakan lagi dan diletakkan di taman.

Dua wanita yang tinggal di rumah itu dilaporkan menemui kanak-kanak itu di dalam peti sejuk beku berkenaan tetapi mangsa sudah tidak bernyawa.

Polis berkata, mereka tidak mengesyaki adanya unsur jenayah dalam kejadian itu tetapi kes berkenaan akan dihantar ke pejabat peguam negara untuk diteliti.

Sheriff Suwannee County, Sam St John dalam satu kenyataan memberitahu, tiga kanak-kanak itu lemas apabila pintu peti sejuk berkenaan tiba-tiba tertutup dan memerangkap semua mangsa.

“Tiada kata yang boleh menggambarkan bertapa sedihnya saya,” katanya.

Menurut media tempatan, kanak-kanak perempuan berusia setahun dan dan abangnya yang berusia enam tahun tinggal di rumah itu bersama neneknya. Saudara mereka yang berusia empat tahun tinggal di kediaman sama bersama ibunya.

St John berkata, ibu mangsa ada bersama kanak-kanak berkenaan ketika mereka bermain di luar rumah tetapi masuk sebentar untuk ke tandas.

“Ibu mangsa masuk ke rumah dan membiarkan kanak-kanak itu bermain selama 10 atau 15 minit. Apabila kembali dia melihat kanak-kanak itu hilang,” jelasnya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *