Lelaki Tahan Kencing Selama 8 Jam, Elak Diuji AADK

Antara suspek yang ditahan dalam operasi berkenaan. Gambar SNT/Ehsan AADK Beaufort

BEAUFORT: Seorang lelaki berumur 26 tahun sanggup menahan air kencing selama lapan jam bagi mengelak daripada ujian saringan air kencing dijalankan.

Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Beaufort Effanehwati Lakat berkata suspek cuba melengahkan masa sewaktu proses ujian dijalankan agar suspek dilepaskan dengan alasan tidak dapat kencing.

“Tindakan suspek bagaimanapun berjaya ditangani oleh anggota AADK dan suspek kemudian ditahan.

AADK Beaufort memeriksa sekitar rumah suspek. Gambar SNT/Ehsan AADK Beaufort

“Suspek juga sebelum ini pernah ditangkap oleh pihak AADK Beaufort atas kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Penagih Dadah, Rawatan dan Pemulihan 1983 kerana melanggar syarat pengawasan.

“Suspek juga baru sahaja bebas dari penjara pertengahan tahun 2018, namun suspek tidak serik dengan hukuman yang sudah dijalaninya,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Tambahnya sebaik menjalani pemeriksaan ujian air kencing, suspek didapati terbabit dalam penyalahgunaan dadah kerana positif syabu.

Anggota AADK Beaufort bertugas sedang memeriksa dokumen ketika operasi tersebut. Gambar SNT/Ehsan AADK Beaufort

Effanehwati berkata suspek adalah antara lima penagih yang ditahan dalam Ops Cegah yang dijalankan di daerah ini yang bermula pada pukul 10 pagi hingga 1 petang.

Katanya turut ditahan seorang ayah dan anak ditangkap dalam Ops sama.

Menurutnya kedua-dua suspek didapati positif dadah.

“Kesemua suspek berumur 19 hingga 51 tahun ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Pihak AADK akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penagihan dadah di daerah ini.

“Sebarang aduan boleh disalurkan ke pejabat AADK Beaufort atau menghubungi di talian hotline kami 013-3343493,” katanya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *